MANILA, 3 APRIL – Teka-teki jet pejuang manakah yang akan memenuhi Program Multi-Role Fighter (MRF) Filipina mungkin berakhir selepas negara ASEAN itu telah melakukan permohonan perolehan 16 buah jet pejuang F-16 dari Washington.
Amerika Syarikat baru-baru ini telah meluluskan kemungkinan penjualan sebanyak 16 pesawat pejuang F-16 kepada Filipina dengan nilai anggaran sebanyak USD5.58 bilion (RM24.7 bilion). Pengumuman ini dibuat oleh Defense Security Cooperation Agency (DSCA ) yang memaklumkan bahawa kerajaan Filipina telah membuat permintaan untuk memperoleh 16 pesawat F-16C Block 70/72 dan 5 pesawat F-16D Block 70/72.
Menurut DSCA dalam satu kenyataan, penjualan yang dicadangkan ini bertujuan untuk meningkatkan kemampuan Angkatan Tentera Filipina (AFP) dalam menjalankan kesedaran domain maritim, sokongan udara rapat, penindasan pertahanan udara musuh dan kemampuan pemintasan udara.

Mungkin ini adalah bayangan ketumbukanjet pejuang Tentera Udara Filipina sekiranya perolehan F-16 berjaya dilaksanakan oleh Manila. Foto: USAF/18th Wing
Penjualan ini, apabila dimuktamadkan, akan meningkatkan kemampuan AFP untuk melindungi kepentingan serta wilayah strategiknya selain mengembangkan kebolehoperasian (interoperability) dengan pasukan Amerika Syarikat.
Kenyataan DSCA menyatakan bahawa Filipina tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk menyerap peralatan ini ke dalam angkatan tentera mereka.
Program Multi-Role Fighter (MRF)
Pembelian pesawat pejuang F-16 ini merupakan sebahagian daripada usaha Filipina untuk memodenkan Angkatan Tentera (AFP) menerusi program Multi-Role Fighter (MRF) di bawah Horizon 2 bagi Program Pemodenan AFP dari 2018 hingga 2022.
Program ini bertujuan untuk memperoleh lebih banyak peralatan bagi tujuan pertahanan luaran.
Sebelum ini, terdapat 2 calon utama untuk projek MRF AFP, iaitu F-16C/D Block 70/72 buatan Amerika Syarikat dan Saab JAS-39 Gripen buatan Sweden.

F-16 Viper (Block70/72) merupakan varian terkini untuk siri jet pejuang ini. Foto: USAF/18th Wing
F-16V (Block 70/72) merupakan jet pejuang generasi keempat yang paling canggih dalam siri model itu. Pesawat ini dilengkapi dengan sistem radar yang memberikan keupayaan pengesanan dan penjejakan yang lebih tinggi serta mampu membawa pelbagai senjata udara-ke-udara dan udara-ke-darat.
Saab JAS-39 Gripen C/D pula merupakan jet pejuang serbaguna (swing-role combat aircraft) yang dihasilkan oleh Sweden. JAS-39 C adalah pesawat satu tempat duduk, manakala versi “D” mempunyai konfigurasi dua tempat duduk.

JAS-39 Gripen merupakan calon pesaing kepada F-16 dalam program MRF Tentera Udara Filipina. Foto: SAAB
Kedua-dua model ini dianggap berupaya untuk diintegrasikan dengan sistem radar Filipina yang mempunyai jarak pengesanan sekitar 250 batu nautika. Pesawat-pesawat ini dijangka dapat membantu AFP mengenal pasti sama ada pesawat yang terbang di ruang udara negara tersebut adalah pesawat mesra atau musuh.
Peralatan dan Persenjataan Tambahan
Melihat kepada notis DSCA, pakej penjualan ini juga merangkumi pelbagai komponen dan sistem persenjataan canggih. Antaranya 24 enjin F110-GE-129D atau F100-PW-229, dengan 20 daripadanya dipasang pada pesawat dan empat lagi disediakan sebagai alat ganti.

Mungkin latihan bersama dengan Amerika Syarikat menjadi antara faktor mengapa F-16 bakal memikat Manila untuk program MRF. Foto: USAF/18th Wing
Selain itu, Filipina akan mendapat 22 radar AN/APG-83 AESA (Active Electronically Scanned Array) yang membolehkan pesawat ini memiliki keupayaan pengesanan dan penjejakan yang lebih tepat, dengan 20 radar dipasang dan dua lagi sebagai ganti.
Turut disertakan adalah 22 komputer misi modular 7000AH dan 22 sistem navigasi berasaskan GPS dengan kemampuan anti-spoofing M-Code. Peralatan ini membantu pesawat mengekalkan tahap ketepatan yang tinggi dalam operasi ketenteraan.
Tambahan pula, 88 pelancar peluru berpandu LAU-129, 22 senjata anti-pesawat M61A1, serta pelbagai jenis peluru berpandu seperti AMRAAM AIM-120C-8, AIM-9X Block II Sidewinder, dan GBU-39/B Small Diameter Bombs turut disertakan dalam pakej ini.
Selain itu, pesawat ini juga dilengkapi dengan sistem peperangan elektronik AN/ALQ-254 Viper Shield, sistem penjejakan inframerah (IRST), dan alat bantuan latihan seperti simulator serta peralatan logistik. Pakej ini turut menyediakan peralatan untuk penyelenggaraan, sokongan teknikal, serta sokongan program bagi memastikan tahap keberkesanan pesawat dapat dikekalkan pada tahap maksimum.
F-16: Filipina dan Laut China Selatan
Pesawat F-16V (Block 70/72) dilengkapi dengan teknologi terkini yang dapat meningkatkan kemampuan pertahanan Filipina, terutamanya dalam menghadapi ancaman di Laut China Selatan serta melindungi wilayah udara mereka.
Filipina kini bergantung kepada 12 buah pesawat FA-50 buatan Korea Selatan yang diperoleh antara 2015 hingga 2017 sebagai pesawat supersonik pertama sejak tamatnya perkhidmatan Northrop F-5 pada tahun 2005.

Sekiranya perolehan F-16 dimuktamadkan, jet pejuang keluaran Lockheed Martin ini akan bergandingan dengan FA-50 di ruang udara Filipina. Foto: USAF/18th Wing
Pengumuman mengenai potensi penjualan pesawat F-16 ini menunjukkan usaha Amerika Syarikat untuk memperkukuhkan hubungan ketenteraan dengan Filipina dan memperluaskan pengaruhnya di rantau Asia Tenggara.
Jet pejuang F-16 bukanlah sesuatu yang asing di rantau Asia Tenggara. Antara negara pengguna F-16 di rantau ini adalah Singapura, Thailand dan Indonesia.
Sekiranya Filipina mendapat kelulusan kongres Amerika Syarikat dan perolehan ini dimuktamadkan oleh Manila serta Washington, ia sekaligus menjadikan negara kepulauan republik itu sebagai salah satu pengguna F-16 di rantau ini. – airtimes.my
#AirTimes #Filipina #teknologipertahanan #F16