WASHINGTON, 3 April – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, telah mengumumkan pengenaan tarif baru yang menyeluruh terhadap semua barangan import serta memperkenalkan senarai duti balas (reciprocal duties) yang menyasarkan lebih daripada 60 negara.
Menurutnya, langkah ini dikatakan perlu bagi mengatasi ketidakseimbangan perdagangan dan memulihkan sektor pembuatan di Amerika Syarikat.
Dalam pengumuman yang dibuat di White House, Trump memaparkan carta yang menunjukkan kadar tarif yang akan dikenakan terhadap pelbagai negara, termasuk Malaysia. Di bawah sistem baharu ini, setiap negara akan dikenakan tarif asas sejagat sebanyak 10% ke atas semua import, berkuat kuasa serta-merta.
Selain daripada tarif asas, tarif balas khusus (reciprocal tariff) turut dikenakan terhadap negara-negara yang didakwa melakukan amalan perdagangan tidak adil.
Kadar tarif ini dikira berdasarkan kira-kira separuh daripada kadar tarif yang dikenakan oleh negara-negara tersebut terhadap barangan Amerika Syarikat. Bagi Malaysia, yang mengenakan tarif sebanyak 47% ke atas barangan Amerika Syarikat, kini berdepan dengan tarif balas sebanyak 24% di bawah sistem baru ini.
Negara-negara Asia Tenggara lain yang turut terlibat termasuk Indonesia, yang mengenakan tarif sebanyak 64% ke atas barangan Amerika Syarikat dan kini dikenakan tarif balas sebanyak 32%.
Thailand pula mengenakan tarif sebanyak 72% dan akan menghadapi tarif balas sebanyak 36%.
Bagi Vietnam, yang mencatatkan kadar tarif tertinggi terhadap Amerika Syarikat sebanyak 90%, ia kini dikenakan tarif balas sebanyak 46%.
Sementara itu, Singapura yang mengenakan tarif sebanyak 10% ke atas barangan Amerika Syarikat akan dikenakan tarif balas yang sama iaitu 10%.
Negara ASEAN yang dikenakan kadar tarif yang tinggi adalah Laos, di mana negara itu dikenakan tarif sebanyak 48% oleh Washington sebagai timbal balas kadar 95%.
Apa itu Reciprocal Tariff?
Reciprocal tariff merujuk kepada tindakan sesebuah negara mengenakan cukai import yang sama atau hampir sama dengan kadar tarif yang dikenakan oleh negara lain terhadap barangan mereka.
Dalam konteks ini, Amerika Syarikat mengenakan kadar tarif balas berdasarkan kadar yang dikenakan oleh negara-negara lain terhadap barangan AS.
Contohnya, jika Malaysia mengenakan tarif sebanyak 47% terhadap barangan dari Amerika Syarikat, maka AS akan mengenakan tarif balas sebanyak 24% ke atas barangan dari Malaysia. Matlamatnya adalah untuk mengimbangi perdagangan dan mengelakkan amalan perdagangan yang dianggap tidak adil.
Menurut laporan Office of the U.S. Trade Representative (USTR), perdagangan barangan antara Amerika Syarikat dan Malaysia mencatat jumlah keseluruhan sebanyak AS$80.2 bilion (kira-kira RM369.3 bilion) pada tahun 2024.
Eksport barangan Amerika Syarikat ke Malaysia pada tahun 2024 berjumlah AS$27.7 bilion (kira-kira RM127.6 bilion), meningkat sebanyak 43.5 peratus (AS$8.4 bilion atau kira-kira RM38.7 bilion) berbanding tahun 2023.
Manakala, import barangan dari Malaysia berjumlah AS$52.5 bilion (kira-kira RM241.6 bilion), meningkat sebanyak 13.7 peratus (AS$6.3 bilion atau kira-kira RM29 bilion) dari tahun sebelumnya.
Walau bagaimanapun, defisit perdagangan Amerika Syarikat dengan Malaysia berkurang sebanyak 7.6 peratus (AS$2.1 bilion atau kira-kira RM9.7 bilion), menjadikan jumlah defisit perdagangan sebanyak AS$24.8 bilion (kira-kira RM114.1 bilion) pada tahun 2024.
Langkah pengenaan tarif balas ini dijangka akan memberi impak kepada perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat, terutamanya dalam sektor eksport yang bergantung kepada pasaran negara barat itu. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Semasa