KUALA LUMPUR, 2 Apr – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berjaya mengeluarkan empat mangsa yang terperangkap dan meninggal dunia dari bawah runtuhan akibat gempa bumi di daerah Sagaing, Myanmar.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, dua mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang wanita dikeluarkan pada hari pertama pencarian.
Manakala sehingga pukul 12.00 tengah hari semalam, dua lagi mangsa (meninggal dunia) wanita telah dikeluarkan.
“Kerja-kerja mencari dan menyelamat dilaksanakan secara bersama dengan pasukan penyelamat tempatan dan cuaca panas memberi kesan kepada pasukan, namun tanggungjawab untuk menyelamat mangsa bencana tetap menjadi keutamaan.
“Hari ini adalah hari ketiga Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia (MAS-01) diaturgerakkan bagi menjalankan misi kemanusiaan serta membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Myanmar, dan satu-satunya pasukan SAR luar negara yang beroperasi di Sagaing buat masa ini, jelas NADMA dalam kenyataan pada Selasa.
Sementara itu faktor keselamatan 50 anggota SMART yang sedang bertugas di daerah Sagaing sentiasa menjadi keutamaan.
Sebelum ini terdapat laporan kawasan bergolak yang masih dibom oleh tentera Myanmar dan risiko periuk api terutama di kuil-kuil.
“Isu keselamatan di lapangan buat masa ini adalah minimum dan keselamatan MAS-01 sentiasa dipantau Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Tempatan (LEMA) dan pasukan polis Myanmar,” tambah kenyataan itu.
NADMA turut memaklumkan bahawa anggota SMART berdepan cabaran berikutan masih berlaku gegaran susulan yang mungkin berbahaya kepada MAS-01 yang sedang melaksanakan operasi bawah runtuhan.
“Isu logistik yang utama seperti bekalan minuman dan petrol perlu sentiasa ada bagi memastikan kelangsungan operasi.
“Isu kebersihan perlu diberi perhatian lebih-lebih lagi selepas pengurusan mayat. Dekontaminasi anggota perlu dilaksanakan setiap kali tamat operasi dan bekalan air untuk mencuci pakaian adalah mencukupi,” menurut NADMA.
Pada Ahad dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa SMART selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Naypyidaw dan pasukan itu kemudian bergerak sejauh 270 kilometer melalui jalan darat ke daerah Sagaing untuk memulakan SAR.
MAS-01 merangkumi Pasukan SMART serta pasukan sokongan dari HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kor Kesihatan Diraja (KKD).
Sehingga semalam, laporan impak yang disahkan Jabatan Pengurusan Bencana Myanmar (DDM), jumlah mangsa meninggal dunia ialah 1,659 orang, cedera (3,535) dan hilang (284). -airtimes.my
#Nadma #Myanmar #gempabumi #Malaysia #semasa #airtimes