if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Putra Heights: 78 rumah musnah, KPKT kaji bantuan perumahan segera

Putra Heights: 78 rumah musnah, KPKT kaji bantuan perumahan segera

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Apr – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited untuk mengkaji mekanisme yang sesuai bagi membantu mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights dalam menangani masalah perumahan mereka.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, kementeriannya menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor dan Petronas bagi menyediakan bantuan perumahan kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat tragedi tersebut.

“Siasatan mengenai punca kebakaran sedang dijalankan. Namun begitu, KPKT bersedia untuk berunding dengan semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan negeri Selangor dan Petronas, bagi menyelaraskan bantuan perumahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Nga, mangsa yang kehilangan rumah kini ditempatkan di Masjid Nurul Iman Puchong dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerja baik pulih atau pembinaan semula rumah yang musnah akan mengambil masa, namun KPKT sedang mengkaji langkah proaktif untuk mempercepatkan proses tersebut.

“Keutamaan kami adalah untuk memastikan keluarga yang terjejas menerima sokongan yang diperlukan dalam proses baik pulih atau bina semula kediaman mereka,” katanya.

Pada Selasa, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor menyatakan, kebakaran besar di Putra Height, Subang melibatkan salur paip gas.

Berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebanyak 78 buah rumah dan 10 kedai telah musnah dalam kebakaran itu, manakala 237 buah rumah turut terjejas.

Setakat jam 6 petang hari Selasa, kejadian ini telah memberi kesan kepada 305 orang mangsa, dengan 125 daripadanya mengalami kecederaan.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melawat tapak kejadian dan mengumumkan bantuan kewangan segera sebanyak RM5,000 kepada mangsa yang rumah mereka musnah sepenuhnya dan RM2,500 kepada mangsa yang rumah mereka terjejas sebahagian.

Sementara itu, media melaporkan, sebanyak 20 agensi akan memulakan siasatan dan pemeriksaan tahap keselamatan di lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya pagi ini.

Antaranya ialah polis, bomba, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Kerja Raya, pihak berkuasa tempatan serta pejabat daerah di kawasan terlibat.

Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat berkata setakat ini, Jalan Persiaran Harmoni ditutup secara berperingkat bagi memudahkan pergerakan pasukan keselamatan namun akan dibuka, secara berperingkat, kepada penduduk yang terjejas.-airtimes.my

#kebarakan #paipgas #bocor #airtimes #malaysia #semasa

 

 

Related Articles

Leave a Reply