if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Filipina tahan warga China guna sijil kelahiran palsu untuk berniaga di Mindanao

Filipina tahan warga China guna sijil kelahiran palsu untuk berniaga di Mindanao

by Air Times News Network

MANILA, 1 APRIL –  Pihak imigresen Filipina telah membongkar kegiatan warga asing di Mindanao yang menggunakan identiti palsu sebagai rakyat Filipina untuk membuka perniagaan dan menggaji pekerja asing secara haram.

Menurut Timbalan Ketua Pentadbiran dan Operasi Bahagian Perisikan Imigresen Mindanao, Melody Penelope Gonzales, operasi berasingan di Mlang, Cotabato Utara dan Digos City, Davao del Sur membawa kepada penahanan lima warganegara China kerana memiliki dokumen yang meragukan.

Butiran penahanan warga China itu telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa Filipina di laman rasmi Imigresen Filipina.

Salah seorang suspek, Bangdie Pan atau turut dikenali sebagai Ditdit, seorang wanita berusia 50 tahun, ditahan di Digos City pada 20 Mac. Dia didapati menguruskan sebuah kedai perkakasan yang didaftarkan di bawah nama seorang warganegara Filipina yang kini sedang disiasat.

Rekod menunjukkan bahawa Pan memiliki visa kerja yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat di Pasig City, namun beliau didapati bekerja secara tidak sah di Davao del Sur. Siasatan mendapati bahawa pekerja Filipina di kedai tersebut mengakui bahawa pemilik sebenar kedai itu tidak wujud dan dokumen perniagaannya telah dipalsukan.

Dalam kes berasingan pada 24 Mac, empat lagi warganegara China iaitu Zhongyi Tang (62 tahun), Tianpei Wu (51 tahun), Dezhen Liu (62 tahun), dan Wang Lianxu (53 tahun) telah ditahan di Mlang kerana bekerja secara haram di sebuah kilang pembuatan bahan kimia.

Pihak berkuasa turut menemui sijil kelahiran serta dokumen yang menunjukkan bahawa Dezhen Liu menyamar sebagai warganegara Filipina. Kilang tersebut didaftarkan atas nama seorang wanita Filipina yang menurut pekerja lain, tidak pernah dilihat sejak perniagaan itu dibuka. Para pekerja juga mengakui bahawa pemilik sebenar kilang tersebut adalah seorang lelaki China yang berpangkalan di Manila.

Kesemua lima warganegara China tersebut kini berdepan dengan tuduhan deportasi atas pelanggaran undang-undang imigresen Filipina.

Dalam satu kenyataan, Pesuruhjaya Joel Anthony Viado menyuarakan kebimbangan terhadap isu ini memandangkan warga asing dapat memperoleh dokumen dan identiti Filipina untuk membuka perniagaan secara haram.

“Dokumen-dokumen ini dan identiti baru yang diperolehi boleh disalahgunakan oleh pihak asing yang mempunyai niat buruk, termasuk kemungkinan digunakan oleh pengintip yang menyamar sebagai rakyat Filipina,” katanya.

Viado turut menggesa agar peraturan lebih ketat dikenakan dalam pengeluaran dokumen dan kad pengenalan Filipina bagi mengelakkan penyalahgunaan oleh warga asing yang tidak sah. – airtimes.my

#AirTimes #Global

Related Articles

Leave a Reply