KUALA LUMPUR, 25 MAC – Mantan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, hari ini membuat laporan polis terhadap sebuah kumpulan yang dipercayai menyebarkan fahaman komunisme secara halus di Malaysia.
Beliau mendedahkan, persatuan yang dikenali sebagai Persatuan Promosi Penyatuan Satu China di Malaysia mempunyai agenda tersirat untuk menyemai pengaruh ideologi komunis dalam masyarakat, termasuk melalui institusi pendidikan.
“Secara kebetulan, saya menerima satu video sekitar jam 10.30 malam tadi yang mengandungi bukti jelas mengenai kemaraan, fahaman dan pendirian terhadap komunisme ini menerusi beberapa peristiwa,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, hari ini.
Menurut Rais, beliau telah menonton video tersebut berulang kali dan mendapati ia mengandungi fakta yang cukup kuat bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan segera.
Antara tiga asas utama laporan polis yang dibuatnya, termasuk peristiwa di Pulau Pinang di mana murid-murid sekolah dilaporkan menyanyikan lagu patriotik Tanah Besar China yang mengandungi unsur komunisme.
Selain itu, kegiatan mengibarkan bendera komunis China secara terbuka serta kewujudan persatuan yang jelas mempromosikan konsep Satu China di Malaysia turut menjadi kebimbangannya.
“Peristiwa di Pulau Pinang, Teluk Intan, dan Dewan Perhimpunan Cina Selangor menunjukkan pola yang sama. Malah, semasa sambutan Hari Kebangsaan, bendera negara China turut dikibarkan secara besar-besaran,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan kebimbangan mengenai sikap pihak berkuasa, khususnya Cawangan Khas PDRM, yang seolah-olah tidak mengambil tindakan meskipun bukti semakin jelas.
“Keganjilannya ialah kalau dahulu apabila ada unsur komunis, pihak polis bertindak pantas. Kehairanan saya, mengapa sekarang mereka diam sahaja. Berani saya katakan, pengaruh komunis China bukan sesuatu yang boleh kita pandang remeh,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan, konsep sel-sel dalam komunisme membolehkan ideologi ini berkembang secara senyap dalam pelbagai sektor, termasuk jabatan kerajaan, sekolah dan universiti.
“Kita perlu melihat sejarah. Malaysia pernah hampir hancur kerana ancaman komunis di tangan Chin Peng, Rashid Maidin, Syah Pakih dan lain-lain. Kita tidak mahu perkara ini muncul kembali dalam bentuk yang lebih canggih atau mengelirukan kedudukan kita,” tegasnya.
Sebagai langkah pencegahan, Rais menyeru Kementerian Dalam Negeri dan pihak berwajib untuk menyiasat secara menyeluruh, termasuk menentukan status pendaftaran persatuan ini serta individu yang terlibat.
“Malaysia tidak boleh tergelincir daripada prinsip Rukun Negara. Generasi muda tidak boleh diasuh dengan fahaman komunis, apatah lagi menerima lagu-lagu patriotik yang membawa perjuangan asing,” katanya mengakhiri kenyataan. – airtimes.my
#RaisYatim #komunisme #AirTimes #Malaysia #laporanpolis #persatuan