BUTTERWORTH, 21 Mac – Infrastruktur di Pangkalan Udara Butterworth akan melalui proses naik taraf apabila kerja pecah disempurnakan sebagai tanda permulaan projek tersebut.
Projek ini merupakan tajaan Project Indo Pacific Enhanced Engagement (IPACE) yang dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2026.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, TUDM memaklumkan kerja naik taraf itu bagi penambahbaikan infrastruktur sedia ada.
Ini merupakan sebahagian usaha strategik Malaysia dan Australia untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan pengoperasian Pangkalan Udara Butterworth pada tahap optimum.
“Simbolik majlis pecah tanah sempena permulaan projek Malaysia-Australia Infrastructure Airfield Works Project (Stage 1) ini disempurnakan Komander Pangkalan Udara Butterworth, Brig Jen Khairol Muzambi Salehin mewakili TUDM bersama Pegawai Memerintah 19 Skuadron (Skn), Wing Commander Belinda Edmunds mewakili Tentera Udara Diraja Australia (RAAF).
“Turut hadir menyaksikan majlis bersejarah ini adalah pegawai dan anggota TUDM dan RAAF serta wakil syarikat yang dilantik bagi melaksanakan projek iaitu syarikat AECOM sebagai penyelia projek dan syarikat Avionic Fajarbaru Joint Venture (AFBJV),” ujar kenyataan itu.
Difahamkan kerja-kerja terlibat termasuklah penambahbaikan kemudahan di pangkalan seperti membaiki permukaan landasan terbang, sistem pencahayaan, sistem saliran, padang ragbi, gelanggang futsal dan kemudahan lain yang berkaitan.
Sepertimana diketahui umum, selain menempatkan aset-aset TUDM, Pangkalan Udara Butterworth turut digunakan RAAF yang dijadikan pusat latihan dan operasi bersama antara Malaysia-Australia.
Di sini RAAF menempatkan unit 19 Skn merupakan sebahagian daripada Gerup Sokongan Tempur RAAF dan juga satu-satunya skuadron pangkalan negara itu yang terletak di luar Australia.
Skuadron ini menyediakan sokongan operasi pangkalan udara kepada unit tentera Australia yang beroperasi dari Butterworth serta yang menjalankan latihan di kawasan serantau.
Turut ditempatkan di pangkalan ini ialah satu kompeni infantri tentera darat Australia iaitu Rifle Company Butterworth yang telah wujud sejak 1970.
Ia berfungsi sebagai sebuah pasukan atur gerak cepat bagi melindungi aset-aset RAAF di pangkalan tersebut semasa era Insurgensi dan kekal hingga kini.
Pangkalan Udara Butterworth turut menempatkan Markas Sistem Pertahanan Udara Bersepadu (HQ IADS) yang dibentuk pada Februari 1971 membabitkan Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan Britain.-airtimes.my
#TUDM #RAFF #pertahanan #airtimes #Malaysia #Australia