Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia-Thailand senada perketatkan kawalan keselamatan sempadan

Malaysia-Thailand senada perketatkan kawalan keselamatan sempadan

by Aqilah Azman

KUALA LUMPUR, 11 MAC – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra bersetuju penubuhan ‘Joint Task Force on Security and Development in Border Area’ yang dipengerusikan bersama Ketua Pengarah Keselamatan Negara Malaysia dan Thailand.

Ia ditubuhkan bagi membincangkan perkara berkaitan keselamatan dan pembangunan di sempadan Malaysia-Thailand.

Menurut Anwar, kerajaan Malaysia melaksanakan kerjasama dua hala bersama kerajaan Thailand untuk kawalan keselamatan, pengumpulan maklumat risikan, latihan bersama dan sebagainya dalam memperkukuhkan kawalan keselamatan.

Selain itu, program rondaan dan latihan bersama pasukan keselamatan kedua-dua belah negara turut diadakan secara berkala.

“Kawalan keselamatan di sempadan darat Malaysia – Thailand sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa melalui kaedah rondaan keselamatan, operasi bersama atau bersepadu antara agensi seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan sebagainya,” jelansya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan daripada Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff yang ingin mengetahui langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam memperketat kawalan keselamatan di sempadan MalaysiaThailand, khususnya di Kelantan yang sering menjadi laluan penyeludupan.

Dalam masa sama, beliau juga ingin mengetahui apakah status permohonan pembinaan tembok keselamatan serta zon penampan di sepanjang 99km sempadan Sungai Golok dalam RMKe-13.

Sehubungan itu,  Anwar turut memaklumkan, anggota keselamatan telah menguatkuasakan undang-undang di bawah Seksyen 5, Akta Imigresen 1956/63 (Akta 155) untuk membanteras keluar masuk orang selain daripada pintu masuk yang diwartakan mulai 1 Disember 2024, bagi memastikan keselamatan komuniti penduduk di Kelantan, khususnya di sepanjang 106.1km Sungai Golok.

“Melalui Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 4; Pengurusan Keselamatan Sempadan Darat Negara, beberapa mekanisme pengurusan sempadan negara juga telah diwujudkan, seperti Jawatankuasa Penyelarasan Sempadan Darat (JPKSD), Jawatankuasa Perancang Gerakan Kebangsaan (JPGK) dan Jawatankuasa Perancang Gerakan Negeri (JPGN),” tambahnya lagi.

Tegasnya,  kerajaan sentiasa komited terhadap kawalan keselamatan sempadan negara supaya ianya selaras dan relevan dengan persekitaran keselamatan yang dinamik dan kompleks.

Antara mesyuarat yang diadakan adalah Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) yang dipengerusikan bersama oleh kedua-dua Menteri Pertahanan, Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC), Jawatankuasa Persempadanan Serantau (RBC), Border Management Working Group (BMWG) bagi membincangkan berhubung isu pembangunan di sempadan,

Selain itu, Intelligent Working Group (IWG) bertanggungjawab dalam perkongsian maklumat risikan, Joint Working Group on Security Committee (JWC-SC) dalam membincangkan berhubung isu-isu keselamatan melibatkan kedua-dua negara. -airtimes.my

#AirTimes #sempadan #SungaiGolok #Thailand #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?