KUALA LUMPUR, 11 Mac – Pengendali stesen radio Era FM, Maestra Broadcast Sdn Bhd dikenakan kompaun sebanyak RM250,000 atas kesalahan memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM, baru-baru ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan, kompaun tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari 2025) setelah menerima kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara.
Menurut SKMM, pihaknya telah membuat keputusan untuk tidak menggantung lesen Maestra Broadcast setelah meneliti hujah-hujah rayuan tersebut.
“Dalam membuat keputusan tersebut, pertimbangan juga telah diberikan terhadap tindakan-tindakan susulan yang telah dilaksanakan oleh syarikat pemegang lesen, permohonan maaf oleh pihak terbabit serta kesan penggantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen yang sama,” jelasny dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, juruhebah radio slot 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy memohon maaf berikutan rakaman video yang dimuat naik di TikTok stesen radio itu memaparkan mereka meniru perbuatan yang dikatakan seperti membawa kavadi sambil menyebut ‘vel, vel’.
Video berkenaan dimuat naik menerusi platform TikTok kemudiannya diturunkan selepas mendapat kritikan pelbagai pihak.
Dalam kenyataan yang sama, SKMM berkata, pihaknya memandang serius sebarang tindakan memuat naik kandungan dalam talian yang boleh mengakibatkan ketegangan antara agama atau mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“MCMC memandang serius sebarang penyebaran kandungan dalam talian yang boleh mencetuskan ketegangan antara agama atau mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia,
“Semua pengendali dan pengguna platform digital diingatkan agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan kandungan yang disiarkan tidak melanggar undang-undang serta norma sosial negara,” jelas kementerian itu lagi. -airtimes.my
#semasa #ERAfm #SKMM #viral #penyampai3pagiera #airtimes