KUALA LUMPUR, 10 Mac – Senator Datuk Dr. Azhar Ahmad menegaskan bahawa pesara tentera yang memperjuangkan hak mereka bukanlah pemberontak, sebaliknya hanya merayu keadilan daripada kerajaan.
Beliau berkata, walaupun terdapat kes yang masih dalam proses mahkamah, perhatian serius perlu diberikan khususnya mereka yang berkhidmat sebelum tahun 2013 kerana para pesara tentera ini telah mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara.
“Pelancaran pencen tentera yang bertugas sebelum 2013, jurang pencen sangat berbeza,
“Kita merayu bukan kepada orang lain. Kita merayu kepada kerajaan kita. Kita hanya merayu, kita bukan hendak memberontak,
“Hak rakyat untuk merayu, hak melulus hak kerajaan terpulang pada kerajaan mengikut kemampuan kerajaan dan sebagainya,” katanya di dalam sesi Dewan Negara hari ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas itu menyifatkan perbezaan ini sebagai tidak adil dan merayu agar kerajaan mengambil tindakan segera.
“Saya merayu bagi pihak mereka… mana-mana yang patut, yang mana mahkamah telah benarkan rayuan mereka, kerajaan bantulah mereka, tunaikanlah,” katanya.
Kenaikan elaun PJM dan bantuan segera
Senator Azhar turut mencadangkan kenaikan elaun PJM (Pingat Jasa Malaysia) daripada RM300 kepada RM500 sebulan sebagai tanda penghargaan kepada veteran yang telah berjuang demi negara.
Menurutnya, pesara veteran yang masih hidup kini hanya sekitar 44,000 orang manakala veteran kurang upaya pula seramai 1,825 orang.
“Tidak miskin kerajaan kalau bantu RM300 sebulan, mereka pun dah tidak ramai,” tegasnya sambil merayu agar urusan bantuan kepada veteran dipermudahkan, terutamanya bagi mereka yang hilang upaya akibat berjuang mempertahankan negara.
Beliau turut meminta kerajaan agar tidak mempersulitkan proses pemberian bantuan one-off kepada pesara veteran, memandangkan ramai antara mereka yang telah kehilangan upaya.
Harapan ‘hadiah’ buat pesara tentera
Sempena bulan yang baik ini, Senator Azhar berharap agar kerajaan dapat mengumumkan ‘satu hadiah yang bagus’ buat anggota tentera dan pesara yang telah banyak berjasa.
“Mereka sudah menjadi arjuna-arjuna yang terbilang tak terbilang, jadi saya merayu bagi pihak mereka,” katanya lagi.-airtimes.my
#pertahanan #DewanNegara #veteranATM #Malaysia