KUALA LUMPUR, 7 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat sebuah video yang tular di laman sosial sejak Rabu yang didakwa menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap agama Islam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti individu yang memuat naik video berdurasi selama lebih tiga minit itu.
Menurutnya, laporan berhubung perkara itu telah dibuat oleh seorang individu di Balai Polis Manchis, Bentong, Pahang, petang semalam.
“Berdasarkan laporan, video itu memaparkan beberapa individu mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina umat agama Islam dan ia telah dimuat naik semalam, dipercayai dihasilkan ekoran isu melibatkan penyampai radio yang didakwa membuat penghinaan terhadap agama Hindu,
“Bagaimanapun video itu telah dipadam selepas menerima kecaman orang ramai. Siasatan rapi sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu terlibat dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada,” katanya seperti dilapor Bernama pada Khamis.
Susulan itu, beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Razarudin menegaskan, pihaknya memandang serius perbuatan menghina mana-mana agama di negara ini yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam,
“Siasatan rapi sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu terlibat dan tindakan tegas bakal diambil mengikut undang-undang sedia ada,” ujarnya lagi.
Terdahulu, tular video dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook ‘Vijayan Savarinathan’ yang dipercayai menghina penganut agama Islam dengan kata-kata kesat dan lucah.
“You sengaja buat-buat, selepas itu nak minta maaf. You tahu kita (penganut Hindu) sembahyang, satu dunia tahu kita sembahyang tetapi you sengaja buat, polis pun diam,
“Semua curi dan mangsakan rakyat Malaysia. Curi berbilion-bilon. Lagi sembahyang tongeng 5 kali. Semua polis, menteri semua rahsuah. Yang terbaru RM170 bilion,” ujar dalam hantaran video berdurasi hampir 4 minit yang tular di media sosial.
Tindakan itu juga turut dilakukan oleh warganet lain sehingga mencetuskan ketegangan antara agama dan kaum di Malaysia.
Sehubungan itu, Razarudin memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni antara agama dan bangsa di media sosial.
Beliau menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang sedia yang terlibat dalam memainkan isu 3R.-airtimes.my
#semasa #airtimes #hina #Malaysia #PDRM