if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Kolumnis: Nahas pesawat Filipina tiada kaitan dengan keupayaan FA-50M bakal dimiliki TUDM

Kolumnis: Nahas pesawat Filipina tiada kaitan dengan keupayaan FA-50M bakal dimiliki TUDM

by Zaki Salleh

Nahas pesawat tempur ringan FA-50PH Tentera Udara Filipina (PAF) yang mengorbankan dua juruterbang mendapat perhatian apabila ia berlaku semasa operasi.

Pesawat malang ini dikatakan sedang melaksanakan penerbangan taktikal pada waktu malam sebelum terputus hubungan.

Dipercayai pesawat ini terbang rendah semasa operasi memberi bantuan bagi menyokong pasukan tentera di darat yang mengasak kedudukan musuh.

Serpihan pesawat yang hilang itu kemudian ditemui pasukan pencari di Gunung Kalatungan dalam wilayah Mindanao.

Identiti juruterbang terkorban disahkan sebagai Mejar Jude Salang-oy dan Lt AJ Dadulla.

Insiden ini pantas mendapat reaksi dalam kalangan warga maya di negara kita khususnya yang cakna dalam hal perolehan memandangkan TUDM bakal menjadi pengguna pesawat sama.

Ada pihak yang memberikan komen dalam laman media sosial mahu Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) meneliti semula keputusan membeli pesawat buatan Korea Selatan ini.

Alasannya bimbang terhadap kualiti pesawat dan keselamatan juruterbang TUDM apabila digunakan nanti.

Sebelum meluahkan pandangan, sebenarnya hendak membatalkan pembelian pesawat tempur tidaklah semudah membatalkan pesanan di Lazada atau Shoppe dengan sekali klik.

Cuma untuk memberi lebih pemahaman kepada warga maya dan rakyat Malaysia amnya, pesawat FA-50 milik Filipina dan yang bakal dioperasikan TUDM nanti adalah dua varian yang berbeza.

Filipina menggunakan FA-50 Blok 10 iaitu varian pesawat tempur ringan terdahulu manakala TUDM memilih FA-50M Block 20 iaitu varian yang paling canggih.

Malaysia menjadi pengguna kedua Blok 20 selepas Poland.

Thailand dan Indonesia yang juga merupakan pengguna pesawat ini membeli varian terdahulu iaitu pesawat latihan dengan Thailand 14 buah T-50 dan Indonesia 22 buah T-50.

Varian T-50 adalah pesawat latihan termaju (advance jet trainer) dan bukannya pesawat tempur ringan.

Sehingga kini enam nahas udara berlaku melibatkan pesawat buatan Korea Selatan ini tetapi berlainan varian.

Dua melibatkan tim aerobatik Black Eagle Korea T-50B iaitu pada 2012 dan 2018 manakala tiga membangkitkan pesawat varian latihan T-50i Indonesia (2015, 2020 dan 2022).

Nahas udara juga tidak semestinya berlaku atas faktor ‘kelemahan’ pesawat, sebab itu mengapa adanya lembaga siasatan setiap kali berlaku nahas udara yang bertanggungjawab merungkai segala aspek.

Sepertimana mana-mana tentera udara di dunia, PAF mahu mengekalkan sebarang nahas udara membabitkan pesawatnya.

Bagaimana pun, aspek kompetensi juruterbang juga perlu diambil kira semasa melakukan operasi selain kekangan pada kemahiran menggunakan teknologi.

Dalam insiden FA-50PH PAH ini, masih terlalu awal untuk meletakkan teori punca nahas memandangkan siasatan sedang dijalankan.

Negara itu memperoleh 12 pesawat FA-50 bermula pada 2015 daripada Korea Selatan Aerospace Industries Ltd.

Kontrak 18.9 bilion peso (AS$331 juta) adalah yang terbesar di bawah program pemodenan tentera yang telah berulang kali terhenti kerana kekurangan dana.

Filipina juga merupakan negara pertama menggunakan FA-50 dalam operasi ketenteraan sebenar iaitu semasa kempen serangan di Marawi pada 2017.

Sejak itu PAF dilihat cenderung menggunakan pesawat FA-50 untuk melakukan serangan udara ke darat selain memberi bantuan tembakan kerana memerlukan pesawat sedemikian.

Negara itu juga telah bercadang menambah pesawat dimiliki untuk membeli 12 lagi FA-50 Blok 20.

Sebagai perbandingan, FA-50M Block 20 merupakan pesawat tempur ringan pelbagai peranan atau light multirole fighter dengan keupayaan serta prestasi lebih baik.

Varian FA-50 Blok 20 dilengkapkan dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dan alat mengenal pasti sasaran termaju ‘Sniper’ yang menjadikan keupayaan pesawat menyamai sebuah pesawat tempur.

Ciri-ciri serta teknologi yang ada pada pesawat memberi reputasi positif terhadap keupayaan FA-50 di pentas antarabangsa.

Dijangkakan KAI akan menerima lebih banyak pesanan untuk pesawat FA-50 ini pada masa hadapan kerana beberapa buah negara sedang mempertimbangkan pesawat tersebut.

Ini termasuk Ireland yang sedang merancang pemodenan tentera udaranya dan memerlukan pesawat tempur bersesuaian dengan bajet negara.-airtimes.my

#pesawat #TUDM #Malaysia #Filipina #FA50 #terhempas #airtimes

Related Articles

Leave a Reply