KUALA LUMPUR, 4 Mac – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk melakukan penambahbaikan rangka kerja Perumpukan Aset Strategik (Strategic Asset Allocation, SAA) bagi memastikan pembayaran dividen secara konsisten dan kelestarian jangka panjang tabung itu.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, penambahbaikan ini perlu memberi tumpuan kepada pengurusan risiko melalui kepelbagaian pelaburan merentas pelbagai kelas aset, selaras dengan syor PAC yang menggalakkan diversifikasi portfolio.
Jelasnya, ia selaras dengan syor PAC untuk mempelbagaikan komposisi portfolio pelaburan dan tidak bergantung kepada satu entiti.
“Walau bagaimanapun, usaha untuk mempelbagaikan komposisi portfolio pelaburan harus diteruskan,
“Ini memandangkan sebahagian besar portfolio pelaburan LTAT masih tertumpu di dalam Kumpulan Boustead,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mas Ermieyati menampah, pihaknya mengambil maklum terhadap status Pelan Penstrukturan Kumpulan Boustead (Project Earth) yang telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dan dibentangkan kepada Menteri Pertahanan, Menteri Kewangan II dan Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan, Pejabat Perdana Menteri.
“Namun, sehingga hari ini, PAC masih belum menerima pelan penstrukturan yang berkaitan,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, PAC menyuarakan kebimbangan berhubung ketiadaan pelan alternatif susulan penghentian Pelan Strategik LTAT 2023-2025 sejak 10 bulan lalu.
PAC mendapati kebergantungan yang tinggi terhadap Boustead Holdings Berhad tanpa program penyusunan semula yang menyeluruh dilihat menghalang transformasi LTAT sebagai tabung persaraan yang mampan.
Bagaimanapun, pada Disember tahun lalu, LTAT menjelaskan bahawa pelan penstrukturan semula tidak dibatalkan tetapi diperhalusi untuk mengatasi cabaran semasa dan mengoptimumkan peluang pasaran terkini.
Menurut LTAT, pelan ini dikatakan bertujuan memperkukuh kestabilan kewangan, mengurus liabiliti secara berkesan serta mempelbagaikan portfolio pelaburan demi manfaat jangka panjang pencarum..-airtimes.my
#LTAT #PAC #jawatankuasa #ATM #Malaysia #airtimes