KUALA LUMPUR, 3 MAC – Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menyatakan program pelaksanaan Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 (Platform) mengambil kira jurang keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dari segi pemodenan, peningkatan keupayaan aset serta cabaran kewangan negara sebagai usaha mengembalikan kredibiliti TLDM.
Beliau berkata, pelaksanaan itu merupakan strategi kerajaan dalam mempertingkatkan kesiapsiagaan dan perolehan aset baharu TLDM bagi menggantikan aset yang usang.
“Dalam pelan ini, TLDM telah merencana beberapa perolehan aset penting melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) hingga menjangkau Rancangan Malaysia ke-15 (RMK15).” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Susulan itu, beliau berkata, kapal Littoral Combat Ship (LCS) dan Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) antara aset yang sedang dalam pembinaan.
Dalam pada itu, Adly turut menjelaskan pelan transformasi itu telah diselaraskan dengan pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti yang telah digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP), Strategi Ketenteraan Negara (SKN) 2.0 dan Pembangunan Angkatan Masa Hadapan (AMH).
“Pembangunan keupayaan yang dilaksanakan TLDM, berlandaskan enam ciri AMH, iaitu kebersamaan, kebolehoperasian, berasaskan teknologi, berorientasikan misi, kecekapan logistik dan berupaya untuk beroperasi di dua wilayah,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Multi – Role Support Ship (MRSS), Littoral Mission Ship Batch 3 (LMSB3), helikopter Anti Submarine Warfare (ASW) dan helikopter operasi maritim (HOM) antara pemperolehan aset baharu yang telah dirancang.
Beliau berkata demikian, bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Neison W Angang yang ingin mengetahui strategi kerajaan meningkatkan kesiapsiagaan ketenteraan, termasuk perolehan aset baharu TLDM dalam menggantikan aset yang usang. -airtimes.my
#AirTimes #TLDM #15to15 #ATM #Malaysia