KUALA LUMPUR, 3 Mac – Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz mencadangkan agar 18 buah pesawat MiG-29N milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang telah lama digantung penggunaannya dilupuskan dan dijual kepada negara-negara yang berminat seperti India dan Sudan.
Bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu berkata, cadangan berkenaan bertujuan untuk menangani isu kekurangan alat ganti bagi pesawat Sukhoi Su-30MKM milik TUDM yang terkesan akibat perang Ukraine-Rusia.
Tambahnya, penjualan pesawat MiG-29N boleh dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada agenda Mesyuarat Malaysia – India Defence Cooperation (MIDCOM) tahun ini.
Langkah ini, menurutnya, bukan sahaja dapat menjana pendapatan malah membuka peluang trade-off alat ganti Sukhoi yang kini sukar diperoleh.
“Saya juga mohon penjelasan daripada MINDEF mengenai perancangan masa hadapan TUDM bagi inventori sedia ada 18 buah pesawat MiG-29N serta 7 buah baki pesawat latihan jenis Aermacchi MB-339 yang digantung penggunaan sejak 2018,
“Saya difahamkan ada beberapa negara yang berminat untuk membeli pesawat MiG-29N memandangkan penyelenggaraan pesawat ini dilaksanakan dengan baik dan tempoh jam penerbangan yang rendah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Bekas Timbalan Menteri itu turut mencadangkan agar India dijadikan pilihan utama dalam rundingan penjualan pesawat MiG-29N memandangkan negara tersebut memiliki teknologi dan alat ganti yang diperlukan oleh TUDM untuk pesawat Sukhoi Su-30MKM.
“Mungkin MINDEF boleh mempertimbangkan penjualan pesawat ini kepada negara seperti Sudan ataupun terutama Negara India dalam pertukaran trade-off alat-alat ganti pesawat jenis Sukhoi milik TUDM,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberikan penjelasan mengenai perancangan masa depan bagi 7 buah pesawat latihan Aermacchi MB-339 yang turut digantung penggunaan sejak 2018.
Cadangan untuk menjual MiG29N dilihat sebagai langkah penjimatan yang berpotensi mengurangkan kos penyelenggaraan aset lama selain memastikan aset TUDM terus relevan dan beroperasi dengan baik.-airtimes.my
#pertahanan #airitmes #pesawat #TUDM #MiG29N #mindef