KUANTAN, 28 FEB – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah meminta agar semua pihak tidak berterusan membahaskan soal Titah Adendum.
Menurut baginda, Titah Adendum telah berada di bawah proses undang-undang dan semua pihak perlu menghormatinya.
“Dalam soal Titah Adendum, bahawasanya perkara ini adalah berada dalam bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti,
“Oleh itu, semua pihak perlu menghormati proses serta undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan retorik,” titah Sultan Abdullah yang disiarkan dalam satu hantaran di akaun media sosial rasmi Kesultanan Pahang.
Menurut hantaran itu, Sultan Abdullah telah menitahkan perkara berhubung Titah Adendum semasa mencemar duli ke Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 pada Khamis.
“Saya menyeru kepada semua supaya berpegang teguh kepada nilai kejujuran, amanah, saling menghormati dan bersikap terbuka dalam menyelesaikan sesuatu perkara,” titah Sultan Abdullah. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Semasa #TitahAdendum