JAKARTA, 28 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA RI) terus memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas kerjasama dalam keselamatan serta penguatkuasaan maritim antara kedua-dua negara.
Menurut APMM, perkara itu dizahirkan melalui lawatan kerja Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah yang telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat BAKAMLA RI pada Khamis.
Menurut APMM, sepanjang pertemuan, kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai isu keselamatan maritim termasuk pemantauan dan pengawasan perairan kedua-dua negara.
“Ia termasuklah pencegahan jenayah rentas sempadan, serta pelaksanaan latihan dan operasi bersama bagi meningkatkan kecekapan aset serta kesiapsiagaan anggota menghadapi ancaman keselamatan serantau,” jelas APMM dalam kenyataan, pada Jumaat.
Mohd Rosli turut menegaskan komitmen APMM dalam memperkukuh mekanisme kerjasama keselamatan laut melalui pertukaran maklumat risikan, pelaksanaan operasi bersepadu, koordinasi bantuan kecemasan serta misi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di perairan yang dikongsi bersama.
“Kerjasama erat antara APMM dan BAKAMLA RI perlu diperkukuh dalam menghadapi cabaran keselamatan baharu seperti aktiviti penyeludupan, pencerobohan perairan, serta ancaman lain yang berpotensi menggugat kestabilan serantau,
“Kepercayaan dan keakraban antara kedua-dua agensi menjadi teras utama dalam memastikan perairan Malaysia-Indonesia kekal selamat,” ujar beliau.
Tambahnya, sebagai sebahagian daripada komitmen bersama, kedua-dua agensi terus memperkukuh pelaksanaan Patroli Koordinasi Optima (PATKOR OPTIMA) MALINDO, iaitu operasi rondaan bersepadu yang dilaksanakan secara tahunan di perairan negara masing-masing.
“Operasi ini menyaksikan penglibatan aset maritim dari kedua-dua negara dalam meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan perairan yang strategik,
“Ia sekali gus memastikan kelancaran laluan perdagangan serta mengurangkan risiko ancaman jenayah maritim,” jelasnya lagi.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Perisikan Maritim Malaysia (MIND), Laksamana Pertama Maritim Datuk Md Fauzi Othman.
Kerjasama erat antara Maritim Malaysia dan BAKAMLA RI diyakini dapat meningkatkan keupayaan penguatkuasaan maritim serta memastikan kestabilan perairan serantau terus terpelihara.-airtimes.my
#keselamatan #APMM #BAKAMLARI #Malaysia #Indonesia #maritim #airtimes