KUALA LUMPUR, 28 Feb – Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 18 tahun kepada 6 bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, lapan tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan kesemua lelaki itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan.
Pada 23 Julai tahun lepas, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut UPNM itu kerana membunuh Zulfarhan.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dihadapi oleh kesemua tertuduh sebelum ini.
Enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Sebelum ini, Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Manakala, Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Nov 2021 menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap semua enam lelaki itu selepas mendapati mereka bersalah di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat membunuhnya.
Mereka yang didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.
Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
#pertahanan #kesbuli #zulfarhan #buli #UPNM #airtimes #Malaysia