KUALA LUMPUR, 28 Feb – Pemuda UMNO Bahagian Batu menggesa kerajaan memberikan penjelasan dan melakukan siasatan menyeluruh melibatkan isu beras putih tempatan dicampur beras import, seperti yang didedahkan oleh kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu, Mohd Zulfadli Amiruddin menegaskan, perkara itu bercanggah dengan kenyataan rasmi kerajaan pada 2023 yang menafikan sebarang unsur penyelewengan dalam pengedaran beras tempatan dan import.
“Isu ini bukan sekadar soal ketidaktelusan dalam industri beras, tetapi turut melibatkan hak pengguna dan keadilan kepada rakyat,
“Selama ini, rakyat telah dibebankan dengan kenaikan harga beras dan isu bekalan yang tidak menentu. Jika benar wujud sebarang manipulasi dalam pengedaran beras, ini adalah satu pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan kami menggesa agar saranan Datuk Dr. Akmal Salleh dilaksanakan secepat mungkin,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, media melaporkan Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd Syahril Firdaus Ab Razak mendedahkan, kira-kira 40 hingga 50 peratus beras import dari 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).
Mohd Syahril berkata, kajian yang menggunakan teknologi pengcapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang tahun 2023 dan 2024.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO Bahagian Batu menuntut agar kerajaan bertanggungjawab dan tidak menyembunyikan sebarang maklumat, kerana sebarang usaha untuk menutup perkara ini hanya akan menjejaskan lagi kepercayaan rakyat.
“Rakyat berhak mengetahui kebenaran, dan sebarang percubaan untuk menyembunyikan maklumat hanya akan menjejaskan lagi kepercayaan terhadap kerajaan,
“Kami juga mendesak agar satu siasatan menyeluruh dijalankan oleh pihak berkuasa bagi memastikan tidak ada unsur salah guna kuasa atau kepentingan pihak tertentu dalam industri beras negara,
“Jika terdapat pihak yang terlibat dalam sebarang bentuk manipulasi, tindakan tegas mesti diambil tanpa kompromi,” katanya lagi.
Pemuda UMNO Bahagian Batu menegaskan bahawa mereka tidak akan berdiam diri dalam isu ini dan akan terus bersuara bagi pihak rakyat.
“Kerajaan harus membuktikan bahawa mereka benar-benar mengutamakan kesejahteraan rakyat, bukan sekadar memberi jaminan kosong tanpa tindakan yang jelas,” tegas Mohd Zulfadli lagi.
#semasa #airtimes #berasimport #berasputih #MARDI