Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat TDM tidak gentar: Provokasi, ugutan di sempadan tidak jejas operasi

TDM tidak gentar: Provokasi, ugutan di sempadan tidak jejas operasi

by Nurulhuda

TANAH MERAH, 27 Feb – Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand menerima provokasi berbentuk kata-kata ugutan daripada sekumpulan individu di tebing Sungai Golok ketika melaksanakan operasi mengekang jenayah rentas sempadan (JRS).

Dalam kejadian pada 26 Februari lalu, pasukan operasi TDM berjaya menahan dua individu yang memasuki Malaysia secara haram melalui laluan tidak sah di Sungai Golok.

Salah seorang suspek, yang dipercayai warganegara Malaysia, bertindak agresif dengan mengacukan pisau berbentuk ‘buku lima’ ke arah anggota keselamatan sebelum berjaya ditahan.

Menurut Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div), ketika tindakan penahanan dilakukan, beberapa individu di seberang Sungai Golok melaungkan kata-kata ugutan terhadap anggota operasi dalam usaha menakut-nakutkan mereka.

Semasa tindakan penahanan, individu dipercayai warganegara Malaysia telah bertindak mengacukan sebilah pisau yang mempunyai hulu berbentuk ‘buku lima’ ke arah pasukan keselamatan. Foto: 2 Div

“Tindakan provokasi ini bertujuan untuk menakut-nakutkan dan melemahkan semangat anggota anggota yang sedang menjalankan tugas mengawal sempadan,” jelas 2 Div dalam kenyataan.

Bagaimanapun, TDM menegaskan bahawa sebarang ugutan atau ancaman tidak akan menjejaskan keazaman pasukan dalam memastikan keselamatan di kawasan sempadan negara terus terpelihara.

Sehubungan itu, suspek yang ditahan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.

TDM turut memberi jaminan bahawa kawalan keselamatan di sempadan akan terus diperketatkan bagi membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan tanpa kompromi.-airtimes.my

#pertahanan #TDM #operasi #Malaysia #Thailand #sempadan #golok

Related Articles

Leave a Comment

error: Aha??? Nak buat apa tu?