Keperluan belanjawan pertahanan yang besar serta batasan kemampuan kewangan negara sering dijadikan alasan bila kerajaan menangguhkan perolehan kelengkapan.
Disebabkan itu, beberapa program pembangunan pertahanan yang telah dirancang lama terpaksa menunggu giliran panjang untuk dilaksanakan.
Sebagai contoh program MRCA TUDM bagi menggantikan pesawat MiG-29N.
Turut tergendala ialah penggantian kapal-kapal ronda usang TLDM yang sepatutnya telah dibuat 15 tahun lalu.
Masih menanti lampu hijau ialah pembelian kenderaan perisai menggantikan Radpanzer Condor dan Sibmas serta sistem pertahanan udara.
Ini adalah contoh perolehan besar manakala pembelian kelengkapan lain pada skala kecil masih diteruskan.
Cumanya, pemodenan yang hendak dilakukan masih berjalan perlahan.
Sebenarnya bukan sahaja pertahanan, malah kebanyakan perolehan atau apa-apa juga program pembangunan fizikal yang dirancang untuk negara adalah bersifat jangka panjang.
Harus diakui kelengkapan pertahanan seperti pesawat tempur, kapal selam, kapal perang, sistem radar dan seumpamanya memerlukan pelaburan berbilion ringgit.
Tanpa keupayaan kewangan, ia boleh memberi tekanan besar kepada bajet negara terutama apabila peruntukan perlu diagihkan kepada sektor lain.
Sebab itu kebanyakan pembelian aset ketenteraan dilakukan melalui pinjaman kerajaan dengan kerajaan (G2G) atau pembiayaan eksport yang membolehkan pembayaran dibuat dalam tempoh tertentu.
Dengan menggunakan kaedah ini kerajaan dapat mengekalkan kestabilan ekonomi sambil tetap memperoleh aset pertahanan yang diperlukan.
Alternatif lain yang mula diterima di Malaysia ialah Government Operate, Company Owned and Maintain (GOCOM).
Pendekatan penswastaan melalui mekanisme pajakan ini dikatakan sebagai langkah strategik meningkatkan keberkesanan perolehan serta memastikan pengurusan sumber lebih cekap.
Kaedah ini juga dianggap inovatif kerana berpotensi untuk menjimatkan kos jangka panjang.
Ini yang telah dipersetujui kerajaan untuk memajak 28 buah helikopter pelbagai jenis untuk ATM dan agensi keselamatan lain dengan nilai kontrak RM16.546 bilion untuk tempoh 15 tahun.
GOCOM sepatutnya sebagai langkah sementara untuk memastikan keperluan operasi ATM tidak terjejas sementara menunggu keputusan perolehan aset baharu.
Cuma persoalannya, adakah perbelanjaan untuk membeli kelengkapan pertahanan dan program pembangunannya jika dilakukan sama ada secara GOCOM, G2G atau pinjaman asing akan membuatkan negara muflis?
Secara logiknya saya berpendapat tidak. Ini kerana ada kaedah atau instrumen perancangan belanjawan digunakan.
Sejak mencapai kemerdekaan 68 tahun lalu tidak pernah kedengaran bahawa wang negara susut atau ekonomi negara merudum kerana membeli kelengkapan pertahanan.
Alhamdulillah, Malaysia masih bertuah kerana mempunyai sumber ekonomi yang besar dan kukuh terutamanya hasil petroleum dan industri lain.
Sepanjang tempoh itu juga, pelbagai kelengkapan serta sistem persenjataan dibeli kerajaan. Jika diperhatikan, setiap pembelian ini berkait rapat dengan situasi keselamatan semasa.
Misalnya, pemodenan TLDM selepas Konfrontasi, pembentukan skuadron helikopter Nuri dan perolehan pesawat F-5 semasa kehangatan Perang Dingin.
Lonjakan paling ketara seterusnya ialah pada dekad 90an dan 2000 yang menyaksikan transformasi ATM sebagai angkatan konvensional.
Bukan sahaja pertahanan, malah segala perbelanjaan negara semestinya dikawal dengan baik dan diselaraskan mengikut keperluan ekonomi serta kantung negara.
Walaupun bajet pertahanan melibatkan jumlah yang besar, ia masih merupakan sebahagian kecil daripada keseluruhan perbelanjaan negara.
Pada dasarnya, Malaysia meletakkan peruntukan seimbang kerana tidak membelanjakan keseluruhan bajet negara untuk pertahanan.
Sebagai contoh, dalam Belanjawan 2024, peruntukan pertahanan hanya sekitar RM19.7 bilion sedangkan bajet keseluruhan melebihi RM390 bilion.
Belanjawan 2025 membabitkan peruntukan RM421 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah diumumkan dengan RM335 bilion adalah untuk belanja mengurus,
Berdasarkan angka ini menunjukkan keutamaan masih diberikan kepada sektor lain seperti pendidikan, kesihatan, dan pembangunan ekonomi.
Kesimpulannya, Malaysia masih mampu membeli kelengkapan pertahanan tetapi terdapat beberapa cabaran yang membatasi perolehan tersebut.
Atas faktor kepentingan strategik, ia bagaimana pun tidak boleh terlalu perlahan kerana bimbang lama kelamaan keupayaan pertahanan negara jauh ditinggalkan.