KUALA LUMPUR, 26 Feb – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan latihan bersepadu bersama Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam Latihan Air Mobility Tactical Operation (AMTOP) Siri 1/2025.
TUDM memaklumkan, latihan ini dikendalikan oleh Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2) dan melibatkan beberapa lokasi strategik seperti Kota Belud, Lahad Datu, dan Labuan.
Menurut TUDM, AMTOP Siri 1/2025 menyaksikan pelbagai modul latihan termasuk Air Drop, Aerial Sniping, Deck Landing Training, Tactical Air Landing Operation, dan Military Free Fall.
“Latihan ini bertujuan untuk menguji dan menilai tahap kecekapan semua elemen yang terlibat serta meningkatkan keupayaan dan keberkesanan anak kapal serta pasukan khas ATM (Darat, Laut, dan Udara) dalam melaksanakan tugas operasi atau latihan secara taktikal,
“Selain itu, latihan ini juga bertujuan untuk menilai kebolehoperasian (interoperability) dan keberkesanan penugasan bersama antara cabang perkhidmatan dalam ATM,” jelas pihak TUDM dalam hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
Tambah pihak TUDM, latihan ini turut berperanan dalam menguji keberkesanan peralatan sedia ada dan terkini agar dapat disesuaikan dengan keperluan operasi semasa serta mengemas kini prosedur sedia ada.
“Siri latihan ini juga memberikan manfaat dalam pelaksanaan Role Qualification Conversion anak kapal bagi memastikan kesiagaan operasi taktikal yang bersedia untuk setiap skuadron Air Mobility,” jelas hantaran itu lagi.
Latihan ini juga menguji kecekapan pasukan ATM serta meningkatkan interoperabiliti antara cabang perkhidmatan. Keberkesanan aset-aset pertahanan udara seperti pesawat angkut C130H, A400M, CN235 serta helikopter EC725AP dan AW139 turut dinilai dalam memastikan kesiagaan berterusan.
Latihan yang berlangsung dari 17 hingga 25 Februari ini memperlihatkan komitmen tinggi serta profesionalisme pasukan khas ATM seperti Grup Gerak Khas (GGK), Pasukan Elit 10 Briged (Para), dan Pasukan Khas TUDM (PASKAU).
Agensi awam seperti Jabatan Laut Wilayah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), serta Pasukan Polis Marin turut terlibat dalam menjayakan latihan ini.
Dengan kejayaan latihan ini, ATM terus memperkukuh kesiagaan operasi taktikal bagi memastikan keselamatan dan pertahanan negara sentiasa berada pada tahap terbaik.-airtimes.my
#pertahanan #ATM #AMTOP #gerakkhas #eksesais #airtimes