KUALA LUMPUR, 26 Feb – Keputusan kerajaan untuk meletakkan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di bawah pengurusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak 2 Julai 2018 adalah tepat, memandangkan ancaman utama di kawasan itu lebih tertumpu kepada jenayah rentas sempadan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, isu-isu seperti penculikan, militan, penyeludupan barang kawalan, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta aktiviti berkaitan ketenteraman awam lebih sesuai dikendalikan oleh jabatan dan agensi di bawah kementerian tersebut, yang mempunyai kepakaran serta kuasa undang-undang berkaitan.
“ESSCOM berdepan dengan pelbagai isu jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan barang tanpa cukai, dadah serta pemerdagangan manusia,
“Oleh itu, inisiatif untuk memelihara keselamatan dan ketenteraman awam wajar diterajui oleh jabatan dan agensi penguatkuasaan di bawah KDN yang memiliki bidang kuasa dalam perundangan berkaitan,
“Ini adalah isu berkaitan penguatkuasaan undang-undang dan ketenteraman awam, bukannya isu berkaitan keselamatan negara atau kedaulatan,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian, bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Datuk Khlir Mohd Nor berkenaan mengapa operasi di ESSCOM diletakkan di bawah KDN sedangkan ancaman sebenar di kawasan tersebut datangnya dari luar terutama dari Selatan Filipina dan apabila ancaman yang melibatkan pencerobohan ke atas kedaulatan negara ianya perlu di pertanggungjawabkan kepada ATM.
Jelasnya, beberapa undang-undang digunakan untuk memerangi jenayah rentas sempadan, termasuk Akta Kastam, Akta Kawalan Bekalan, Akta Dadah Berbahaya dan Akta Imigresen yang kebanyakannya berada di bawah bidang kuasa KDN.
Bagaimanapun, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetap memainkan peranan penting dalam memelihara keselamatan dan kedaulatan negara melalui ESSCOM.
ATM berfungsi sebagai pasukan cegah lintang bagi menyekat sebarang pencerobohan tentera asing serta memastikan keselamatan kawasan perairan dan sempadan negara.
“Operasi keselamatan yang dilaksanakan ATM bertujuan melindungi kepentingan negara serta memastikan keutuhan wilayah di kawasan Pantai Timur Sabah,
“Peranan ATM ini sekaligus membolehkan operasi penguatkuasaan undang-undang oleh agensi keselamatan berjalan dengan lancar dan berkesan,” tambahnya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa agenda utama ESSCOM adalah mempertahankan keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan institusi negara, sejajar dengan matlamat untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan kelangsungan Malaysia sebagai negara yang aman serta dihormati di peringkat antarabangsa.
“Penempatan ESSCOM di bawah KDN merupakan keputusan yang strategik, dengan memastikan kesepaduan serta sinergi antara jabatan dan agensi persekutuan serta negeri dalam kluster penguatkuasaan kedaulatan dan pertahanan negara terus efektif dan efisien,” jelasnya lagi.-airtimes.my
#semasa #ESSCOM #ESSZONE #keselamatan #airtimes #Sabah