if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Beting Patinggi Ali: Malaysia tolak tuntutan China, tiada rundingan diplomatik

Beting Patinggi Ali: Malaysia tolak tuntutan China, tiada rundingan diplomatik

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Malaysia tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan China di Laut China Selatan, berdasarkan Peta Sembilan-Garis atau mana-mana peta yang diterbitkan oleh kerajaan republik China yang meliputi kawasan maritim negara.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, tiada rundingan diplomatik dengan China berhubung isu Beting Patinggi Ali memandangkan lokasi itu sememangnya berada dalam kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

Tegasnya, kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap keselamatan perairan negara di Laut China Selatan termasuk di kawasan Beting Patinggi Ali.

“Kerajaan sentiasa memantau rapat sebarang perkembangan dan situasi semasa di kawasan dengan keterlibatan dan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan isu tersebut ditangani dengan segera dan efisien tanpa menimbulkan sebarang ketegangan di lapangan,

“Pendekatan ini dilaksanakan melalui mekanisme untuk menyelaras tindakan-tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk menjamin keselamatan perairan Malaysia,

“Setiap agensi kerajaan memainkan peranan masing-masing untuk memastikan kepentingan negara sentiasa dipertahankan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang ingin tahu status rundingan diplomatik terkini dengan negara China berkenaan isu Beting Patinggi Ali dan adakah kerajaan sedar tindakan China menceroboh kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) lalu serta bagaimanakah kerajaan memastikan perkara itu tidak berlaku lagi.

Menurut Mohamad, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa memberikan perhatian serius terhadap keselamatan di kawasan perairan negara.

Jelasnya, antara tindakan-tindakan yang diambil termasuklah rondaan pengawasan, pemantauan dan penguatkuasaan berterusan di dalam kawasan maritim Malaysia bagi mempamerkan kehadiran di kawasan tersebut.

“Semua agensi penguatkuasa dan pemantauan maritim di negara amat komited dalam memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia adalah kekal terpelihara,

“Pelaksanaan rondaan berkala dan operasi oleh pasukan keselamatan negara bertujuan bagi memastikan keselamatan aktiviti-aktiviti ekonomi negara seperti aktiviti eksplorasi dan eksploitasi hidrokarbon di kawasan tersebut sentiasa terpelihara sepanjang masa di samping mempertahankan kedaulatan negara,” tambahnya. -airtimes.my

#BetingPatinggiAli #Malaysia #China #keselamatan #airtimes

Related Articles

Leave a Reply