BUTTERWORTH, 24 FEB – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan program sengaraan jet pejuang F/A-18D Hornet dalam negara jimatkan kos sebanyak 25 peratus.
Menurut beliau, program Local Planned Maintenance 12 Years (LPM12Y) memendekkan masa senggaraan di samping memperkasakan industri aeroangkasa tempatan.
Khaled menyatakan perkara tersebut dalam hantaran di akaun media sosial beliau selepas mengadakan lawatan ke Pangkalan Udara Butterworth, hari ini.
“Aktiviti senggaraan di dalam negara membolehkan Kerajaan mengurangkan kos sekitar 25% berbanding menghantarnya ke luar negara.
“Selain penjimatan kos yang ketara kepada Kerajaan dan pemendekan “turnaround time“, LPM12Y membolehkan modal insan dan industri aeroangkasa tempatan terus dibangunkan,” kata Menteri Pertahanan.
Khaled menambah, program senggaraan peringkat depoh bagi pesawat F/ A-18D Hornet dijangka selesai pada tahun 2029.

Menteri Pertahanan melihat sendiri pelaksanaan program Local Planned Maintenance 12 Years semasa melakukan kerja ke Pangkalan Udara Butterworth. Foto: Khaled Nordin
“Program senggaraan peringkat depoh bagi pesawat F/ A-18D Hornet ini berjalan selama 5 tahun bermula 2024 dan dijangka selesai pada tahun 2029,
“Planned Maintenance Interval 1 ini perlu dilaksanakan selepas 12 tahun pengoperasian pesawat bagi mengekalkan status airworthiness,” ujar beliau.
Khaled turut menyatakan beliau berpuas hati dengan pelaksanaan dan status terkini program ini selepas diberikan taklimat oleh syarikat.
Program LPM12Y merupakan senggaraan peringkat depoh yang dilaksanakan oleh syarikat tempatan, G7 Global Aerospace Sdn Bhd.
Melihat rekod kenyataan oleh pihak TUDM, program ini telah dilaksanakan semenjak tahun 2021. Sehingga kini, sebanyak 2 buah pesawat F/A-18D Hornet telah siap menjalani program ini dengan penerimaan pesawat kedua secara rasmi oleh TUDM pada April tahun lalu.
“Penyelengaraan ini melibatkan pemeriksaan menyeluruh terhadap struktur pesawat, penilaian kerosakan dan baik pulih kerosakan struktur yang disebabkan haus dan lusuh atau kemerosotan material ke atas pesawat akibat faktor persekitaran dan pengeporasian pesawat,” kata TUDM dalam satu hantaran.
Menurutnya, F/A-18D secara lazimnya perlu menjalani penyelenggaraan di luar negara. Selain G7 Global Aerospace Sdn Bhd, program ini turut melibatkan syarikat Rosebank Engineering.
“Untuk jangka masa panjang, perkara ini dapat menjimatkan kos pembangunan angkatan atau penyelenggaraan aset-aset TUDM serta mewujudkan sinergi baharu secara berterusan dengan industri pertahanan tempatan,” kata TUDM.
TUDM pada ketika ini mengoperasikan 8 buah jet pejuang F/A-18D Hornet yang diterima dari McDonnell Douglas pada tahun 1997. Sehingga hari ini, kesemua 8 jet pejuang buatan Amerika Syarikat ini menjadi salah satu taring kekuatan udara TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan kedaulatan negara.
F/A-18D Hornet telah menjadi salah satu watak penting ketika negara berhadapan dengan pencerobohan kumpulan militia Tentera Diraja Sulu di Lahad Datu pada tahun 2013. Pada ketika itu, 3 F/A-18D Hornet bergandingan dengan 5 buah jet pejuang Bae Hawk 208 telah melancarkan serangan udara terhadap kedudukan tentera Sulu pada hari pertama Ops Daulat.
Walaupun dalam jumlah yang sedikit, senggaraan sebegini merupakan salah satu perkara yang mustahak dilakukan memandangkan F/A-18D Hornet TUDM mempunyai tempo operasi yang tinggi.

Perolehan F/A-18 Hornet dari Kuwait masih lagi menanti jawapan. Foto: Khaled Nordin
Tambahan pula, program MRCA yang pernah menjadi titik tumpuan pertahanan negara pada satu ketika dahulu tidak dapat dilaksanakan dan mengalami penangguhan. Program ini kemudiannya diserapkan ke dalam pelan strategik Capability 2055 (CAP 55).
Melalui pelan ini, TUDM dirancang untuk memiliki 2 skuadron MRCA dan 3 skuadron FLIT/LCA.
Pada ketika ini, perolehan fasa pertama FLIT/LCA sedang menyaksikan proses pengeluaran KAI FA-50 Block 20 sedang rancak dijalankan di Korea Selatan.
Selain itu, perolehan F/A-18 Hornet Kuwait sedang menanti lampu hijau daripada pihak Washington memandangkan Amerika Syarikat masih dalam fasa peralihan ke era baharu Donald Trump.
Dengan menganggap perolehan F/A-18 Hornet Kuwait berjaya, pengalaman TUDM dengan kepakaran tempatan dalam menyelenggara pesawat ini akan memberikan kelebihan tersendiri kepada negara. Tambahan pula, pihak Boeing telah pun mengumumkan tamatnya pengeluaran F/A-18 Hornet dan Super Hornet. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #FA18D #Hornet #TUDM