ULU KINTA, 24 Feb – Di sebalik cabaran operasi khas yang berisiko tinggi, pasukan elit Komando 69 (VAT 69) dipersiap dengan latihan lebih komprehensif dalam bidang perubatan selam dan hiperbarik.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan kesihatan dan keselamatan penyelam tempur VAT 69 berada di tahap optimum.
Sebagai langkah memperhebat persiapan pasukan, Ketua Perkhidmatan Perubatan Bawah Air dan Hiperbarik HATTM, Brigedier Jeneral (Dr) Mohamed Zaki Mohamed Mokhtar, telah mengadakan lawatan ke Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta, baru-baru ini.
Menurut hantaran di laman Facebook VAT 69, lawatan itu bukan sekadar mengeratkan hubungan, malah membuka laluan kepada siri latihan dan kursus perubatan selam yang lebih intensif bagi Diving Medical Technician (DMT) 69 Komando.
“Kunjungan hormat ini juga bertujuan untuk merancang pelbagai siri latihan/kursus bersama di antara kedua-dua pihak terutamanya dalam bidang Selam dan Perubatan Selam,
“Ilmu dan kepakaran serta kemudahan yang lengkap berkaitan perubatan selam dari HATTM sememangnya sangat diperlukan oleh 69 Komando dalam memastikan kesihatan penyelam-penyelam 69 Komando berada di tahap yang optimum,
“Khidmat nasihat dan kepakaran yang diberikan oleh pihak HATTM akan menjadi panduan utama dalam merangka kursus dan latihan selam untuk pasukan 69 Komando pada masa hadapan,” jelas VAT 69.

Brigedier Jeneral (Dr) Mohamed Zaki Mohamed Mokhtar sedang memeriksa peralatan menyelam anggota Komando 69. Foto: IPBAH ATM
Lawatan itu turut disertai Komander 69 Komando, SAC Hamzah Hashim, yang membawa delegasi melawat kemudahan strategik seperti Kompleks Taktikal Selam Tempur, Kompleks Latihan Tempur Jarak Dekat (CQB), Lapang Sasar Terbuka 1.2 KM, Kompleks Cawangan Pengangkutan, dan Kompleks Pentadbiran.
“Diharap kunjungan hormat ini dapat mengukuhkan lagi ukhuwah dan kerjasama khususnya antara pihak Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dengan 69 Komando dalam menambah baik kemudahan selam dan ilmu pengetahuan berkaitan selam,” jelas hantaran itu lagi.
Sementara itu, Dr Mohamed Zaki berkata, kerjasama dalam bidang kepakaran perubatan selam yang telah lama terjalin antara HATTM dan VAT 69 merangkumi beberapa aspek penting.
Antaranya termasuk khidmat nasihat perubatan selam serta rawatan kecemasan hiperbarik, saringan kesihatan dan kesiapsiagaan perenang tempur atau lebih dikenali sebagai PULLHEEMS Diver, serta perkongsian kepakaran teknikal berkaitan transportable hyperbaric chamber jenis DART-ATEL.
Selain itu, pihak HATTM turut memberikan khidmat nasihat berkaitan masalah kesihatan dan kecemasan penyelam taktikal, termasuk kepada pasukan khas PDRM, dalam memastikan setiap anggota memiliki tahap kesiapsiagaan yang optimum sebelum melaksanakan sebarang operasi berisiko tinggi.-airtimes.my
#pertahanan #ATM #HATTM #airtimes #VAT69 #PDRM