if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Pertahanan dan Keselamatan Ceroboh pelantar minyak: APMM tahan tujuh warga Indonesia

Ceroboh pelantar minyak: APMM tahan tujuh warga Indonesia

by Nurulhuda

KUALA TERENGGANU, 21 Feb –  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Terengganu telah menggagalkan cubaan menceroboh serta mencuri oleh tujuh lelaki warga Indonesia di sebuah pelantar minyak tidak berpenghuni di perairan Terengganu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu (PUSOP) menerima maklumat daripada Petronas Security Group berkaitan kejadian pencerobohan sebuah pelantar minyak tidak berpenghuni di lapangan Tembikai (CPP TEMBIKAI), yang terletak kira-kira 77 Batu Nautika Timur Kuala Terengganu, sekitar pukul 1.30 tengah hari pada Rabu.

Jelasnya, menurut maklumat yang diterima, kru operasi pelantar telah mengesan serta menemui tanda-tanda pencerobohan, selain melihat kelibat seseorang sedang bersembunyi di bilik janakuasa ketika melaksanakan pemeriksaan rutin.

“Bertindak atas aduan tersebut, KM RAWA yang sedang dalam penugasan Op IMAN telah diatur gerak ke lokasi dan melakukan pemantauan fizikal di kawasan pelantar pada jam 9 malam,

“Berikutan keadaan gelap serta ombak kuat yang boleh mendatangkan bahaya kepada anggota, pasukan menggeledah bersama kru operasi pelantar hanya dapat menaiki pelantar pada pagi Khamis sekitar jam 11.30 pagi,” jelasnya dalam hantaran di lamabn Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati keadaan pelantar minyak berselerak akibat dibongkar.

“Pemeriksaan oleh pasukan menggeledah KM RAWA menemukan kesan-kesan kabel yang telah dipotong, bateri yang telah dilonggokkan, bekas-bekas makanan serta peralatan yang digunakan seperti pemotong kabel, setspanar serta tali,

“Penggeledahan lanjut akhirnya berjaya menemui 7 suspek warganegara Indonesia berusia antara 25 hingga 45 tahun yang sedang bersembunyi di ruang ventilasi pelantar minyak tersebut,” ujarnya lagi.

Kesemua suspek berjaya ditahan dan dipindahkan ke KM RAWA sebelum dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut.

Hasil soal siasat awal mendapati bahawa kesemua suspek dihantar ke pelantar tersebut menggunakan sebuah bot, namun bot tersebut melarikan diri sebaik melihat kehadiran kapal yang membawa kru operasi pelantar.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 378 Kanun Keseksaan.-airtimes.my

#keselamatan #pelantarminyak #ceroboh #Indonesia #Malaysia #APMM #airtimes

Related Articles

Leave a Reply