if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Pertahanan dan Keselamatan Boleh atau tidak? Ikmal Hisham desak demonstrasi keupayaan AW149

Boleh atau tidak? Ikmal Hisham desak demonstrasi keupayaan AW149

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, mempersoalkan sama ada pembelian helikopter AW149 untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) benar-benar menepati spesifikasi operasi yang diperlukan.

Dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Khamis, beliau membangkitkan persoalan mengenai kemampuan helikopter itu untuk melakukan tugas underslung, iaitu mengangkut beban berat seperti meriam menggunakan kabel di bawah pesawat.

Menurutnya, meskipun kerajaan menyatakan bahawa AW149 mampu melaksanakan tugas tersebut, beliau meragui kesahihan dakwaan itu kerana tiada ujian atau demonstrasi dilakukan sebelum keputusan pembelian dibuat.

“Adakah AW149 adakah ia mengikut spec (spesifikasi) atau tidak? Adakah AW149 benar-benar boleh buat underslung?

“Saya percaya, saya rasa Yang Berhormat Menteri mungkin kata boleh buat underslung sebab ini basic sebab Nuri dulu boleh. Masalahnya kita tak ada buat uji kaji. Nak beli barang kita kena buat test,

“Dato’ Seri beli kereta pun buat test drive dulu. Ini tak ada uji kaji terus kita buat keputusan pajakan,” katanya dalam sesi Penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau turut merujuk kepada insiden melibatkan helikopter Nuri sebelum ini, di mana percubaan membawa meriam secara underslung menyebabkan ketidakstabilan sehingga membawa kepada kejatuhan peralatan ketenteraan.

“Saya ada keratan akhbar, pada tahun 1979 dan juga kejadian di Sungai Temin, Kedah pada 12 November 2009, di mana meriam terpaksa dijatuhkan atas sebab keselamatan. Ini helikopter yang memang boleh buat underslung, tapi tetap ada risiko. Jadi, bagaimana dengan AW149?” tegasnya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Tanah Merah itu mencadangkan agar Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengadakan demonstrasi khas bagi membuktikan keupayaan sebenar helikopter tersebut, selain mempertikaikan keputusan untuk terus memeterai kontrak pembelian tanpa melalui ujian menyeluruh.

“Kalau betul boleh buat underslung, buat demonstrasi, panggil semua Ahli Parlimen untuk tengok sendiri. Kenapa kita tergesa-gesa buat kontrak ini tanpa uji nilai?” katanya lagi.

Pada Oktober tahun lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melihat Leonardo AW149 sebagai helikopter yang baharu bagi menggantikan peranan Nuri untuk kegunaan TUDM.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman pada ketika itu berkata, rancangan perolehan helikopter baharu untuk TUDM adalah melibatkan 24 buah helikopter yang dilaksanakan secara berfasa.- airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply