Home Pertahanan dan Keselamatan Sewa helikopter: Kalau guna pendekatan biasa, sampai bila pun kita tak akan ada aset – Menteri Pertahanan

Sewa helikopter: Kalau guna pendekatan biasa, sampai bila pun kita tak akan ada aset – Menteri Pertahanan

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 20 FEB – Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan perolehan secara pajakan 28 helikopter adalah mustahak dan perlu dilaksanakan.

Menurut beliau, perolehan aset melalui kaedah biasa adalah akan memakan masa yang lama dan berisiko untuk tidak dilaksanakan.

“Berasaskan pada kekurangan dana kerajaan, kalau kita gunakan pendekatan biasa sampai bila pun kita tak akan ada aset-aset strategik,” katanya semasa sidang media di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Khaled Nordin menyampaikan Penggulungan Bahas Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Dalam penggulungan tersebut, Menteri Pertahanan menegaskan perolehan secara pajakan ini bukanlah sesuatu yang baharu dan asing dalam perkhidmatan kerajaan.

Malah, perolehan secara pajakan 28 helikopter oleh kerajaan dilaksanakan atas beberapa sebab termasuklah kekangan kewangan kerajaan.

Kekangan ini sekaligus menyebabkan perolehan aset strategik untuk pasukan tentera jauh ketinggalan.

“Terdapat banyak kritikan dan laporan di luar sana yang menegaskan negara perlu memiliki aset-aset moden dan strategik, tetapi negara tidak berupaya untuk merealisasikannya,

“Dalam erti kata lain, jika kita menunggu hanya memperolehi aset melalui kaedah pembelian secara terus, adalah tidak mustahil kita akan terpaksa terus menunggu lebih lama atau mungkin kita sebenarnya tidak akan mampu mempunyai aset-aset strategik yang diperlukan negara sampai bila-bila,” katanya semasa menyampaikan penggulungan di Dewan Rakyat.

Beliau menambah, perolehan secara terus akan memerlukan pengeluaran perbelanjaan skala besar oleh kerajaan. Situasi ini amat berbeza dengan perolehan secara pajakan di mana kerajaan akan mula membayar komitmen sebaik sahaja helikopter diterima.– airtimes.my

#Airtimes #Malaysia #pertahanan #helikopter

Leave a Reply