Home Teknologi Pertahanan TOLUN, taring serangan tepat UCAV ANKA III

TOLUN, taring serangan tepat UCAV ANKA III

by M.Daim

Dalam dunia peperangan moden, pesawat tanpa pemandu tempur (UCAV) menjadi salah satu jujukan kekuatan ketenteraan di peringkat global. Turkiye, yang dibekalkan dengan kemampuan industri pertahanan mereka sudah tentu tidak terlepas dalam membangunkan keupayaan mereka.

 

Melihat kepada perkembangan industri Negara Jambatan Timur dan Barat itu, keupayaan pembangunan pesawat tanpa pemandu (UAV) dan UCAV dari industri pertahanan Turkiye mempunyai pencapaian tersendiri.

TOLUN digugurkan dari ruang senjata dalaman (internal bay) Anka-3. Foto: TUSAŞ

Sudah tentu nama Bayraktar TB-2 amat dikenali berikutan prestasinya di beberapa medan tempur termasuk di Ukraine. Pun begitu, Bayraktar TB-2 bukanlah satu-satunya UCAV yang bakal membarisi keupayaan UCAV Turkiye.

 

ANKA III (Anka-3) merupakan satu lagi UCAV yang sedang giat dibangunkan oleh industri pertahanan negara itu. Seperti Bayraktar Kızılelma, Anka-3 merupakan UCAV yang menampilkan ciri-ciri stealth.

 

Baru-baru ini, pesawat UCAV keluaran Turkish Aerospace Industries (TUSAŞ) itu telah berjaya melaksanakan ujian serangan tepat.

 

Pada pertengahan Januari lalu, Anka-3 telah berjaya melaksanakan ujian pengeboman tepat dengan menggunakan bom TOLUN. Ujian ini menyaksikan pelepasan bom dari ruang senjata dalaman (internal bay) Anka-3 yang terbang pada kelajuan 180 knot (333 kilometer sejam, km/j) pada ketinggian 20 ribu kaki.

 

Ujian yang dilaksanakan di Konya Karapınar Firing Range itu menyaksikan kejayaan serangan tepat dari ANKA III.

 

Tolun merupakan bom panduan yang mengabungkan rekaan dari ASELSAN serta Institut Penyelidikan dan Pembangunan Industri Pertahanan (TÜBİTAK Savunma Sanayii Araştırma ve Geliştirme Enstitüsü, SAGE).

Tepat pada sasaran! TOLUN yang digugurkan pada ketinggian 20 ribu kaki tepat mengenai sasaran. Foto: TUSAŞ

Kepala peledak Tolun direka oleh SAGE manakala selebihnya adalah oleh ASELSAN.

 

Melihat kepada maklumat yang disediakan oleh ASELSAN, bom panduan ini berupaya untuk menembusi konkrit setebal 1 meter. Bom ini turut dirancang untuk digunakan pada F-16 Block 40 dan Bayraktar Akinci.

 

Tolun dilengkapi dengan sistem navigasi GPS/INS dan kepala panduan IIR. Sistem panduan ini membolehkan juruterbang mengawal penembakan Tolun.

 

Di atas kertas, Tolun adalah setanding dengan bom pelbagai guna (General Purpose, GP) Mark 81.

 

Anka-3 berupaya untuk membawa beban sebanyak 1,200 kilogram dan mampu untuk terbang selama 10 jam. Selain Tolun, pesawat ini berupaya untuk membawa sistem persenjataan seperti SOM-J, MAM dan Mk82.

 

Pesawat UCAV ini juga berupaya untuk terbang pada kelajuan 460 km/j dan maksimum pada 830 km/j. – airtimes.my

 

#AirTimes #Turkiye #UCAV #TeknologiPertahanan

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?