KUALA LUMPUR, 18 FEB – Suspek yang mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk kes dadah, samun dan insiden menembak di Setia City Mall, telah ditembak mati dalam satu operasi polis di Pulau Ketam, awal pagi tadi.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, sepasukan polis mengesan suspek dikehendaki itu di sebuah hotel di Pulau Ketam kira-kira 3 pagi tadi.
Ketika serbuan, katanya, suspek lelaki dalam lingkungan 30-an itu berbalas tembakan dengan polis sebelum ditembak mati.
“Polis turut menemui dua senjata api berisi peluru bersama suspek,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, suspek dikehendaki itu mempunyai sembilan rekod jenayah lampau, termasuk satu berkaitan dadah dan tujuh kes samun.
“Dia juga dipercayai terlibat insiden tembakan di Setia City Mall baru-baru ini.”
Media sebelum ini melaporkan seorang pekerja pembersihan cedera di bahagian kaki dalam kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada 8 Februai lalu.
Suspek warga tempatan itu dipercayai tiba di pusat beli-belah terbabit kira-kira 10 malam dan menuju ke arah mangsa sebelum melepaskan tembakan dan melarikan diri dengan menahan sebuah kenderaan serta memaksa pemandu membawanya keluar dari kawasan terbabit.
Sebelum itu, tular di media sosial kejadian tembakan yang dikatakan berlaku di sebuah kedai emas dalam sebuah pusat beli-belah di Setia Alam.-airtimes.my
#semasa #jenayah #tembak #PDRM #airtimes #Malaysia