BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Feb – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, di Istana Nurul Iman, hari ini bagi membincangkan pelbagai isu strategik berkaitan Kepengerusian ASEAN 2025.
Turut serta dalam sesi perbincangan ini ialah bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, yang kini berperanan sebagai Ketua Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi kepada Pengerusi ASEAN 2025.
Anwar berkata, sebagai pemimpin paling berpengalaman dalam kalangan negara ASEAN, Sultan Brunei menjadi rujukan penting dalam merangka dasar dan hala tuju serantau, termasuk dalam menangani isu Myanmar.
“Walaupun Myanmar terikat dengan Konsensus Lima Perkara ASEAN, segala usaha harus dipertingkatkan untuk memastikan penglibatan berterusan dengan semua pihak berkepentingan” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan mengenai peningkatan masalah yang berpunca daripada ekonomi gelap, termasuk penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia dan penipuan dalam talian.
Dalam usaha menyelesaikan krisis Myanmar, Anwar menegaskan perlunya penyelarasan yang lebih baik dalam kalangan Menteri-Menteri Luar ASEAN bagi memastikan tindakan yang lebih berkesan dapat diambil.
Selain itu, Anwar berpandangan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat (AS) yang dicadangkan dalam Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN sebelum ini perlu dilaksanakan segera.
Sementara itu, dalam perbincangan mengenai Laut China Selatan, kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa kemajuan diplomatik secara multilateral perlu diperkukuh, termasuk menyegerakan rundingan mengenai Kod Tatalaku (CoC) bagi memastikan kestabilan di rantau ini.
Dari sudut ekonomi, tumpuan turut diberikan kepada pengukuhan perdagangan intra-ASEAN dan peningkatan kerjasama serantau, termasuk penyediaan rangka kerja yang lebih mesra perniagaan untuk merangsang aliran modal dan pertumbuhan ekonomi serantau.
“Mengenai mata wang kripto, kami membincangkan kepentingan membangunkan infrastruktur Blockchain yang betul serta memastikan kebolehcapaian digital sebagai prasyarat utama bagi pembangunan yang sihat dan progresif di rantau ini,” ujarnya lagi.-airtimes.my
#airtimes #Malaysia #Brunei #ASEAN #Anwar #Thailand