IPOH, 17 FEB – Penilaian terhadap keperluan pasukan khas bukan semata-mata untuk memastikan kesediaan, tetapi aspek lain termasuk kebajikan dan saraan.
Bagi maksud tersebut, 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK) Polis Diraja Malaysia menerima lawatan kerja delegasi naziran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Ia bagi meneliti keupayaan dan kesiapsiagaan menghadapi ancaman keselamatan dalam negeri dan krisis keselamatan negara.
Delegasi diketuai Pengarah Bahagian Gaji dan Elaun JPA, Hasmarulaini Omar.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KDN, Shah Rizan Mohamad Sirat dan Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (PGK), Senior Asisten Komisioner Anuar Rosdi.
Kunjungan delegasi disambut Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan (Perkhidmatan/ Perjawatan), Deputi Komisioner Polis Ab Rahaman Arsad diiringi Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Hamzah Hashim.
Sepanjang lawatan kerja dua hari ini, delegasi dipertontonkan kecekapan tempur trup-trup 69 Komando meliputi pelbagai dimensi kemahiran selain taklimat berhubung hal pentadbiran.
Delegasi melawat Markas Latihan Luar Cawangan Latihan Peperangan Khas (CLPK) 69 Komando di Hutan Lipur Sg. Nyior, Ladang Allagar Trong.
Ia bagi menilai keberkesanan tadbir urus 69 Komando melahirkan sumber manusia berkepakaran dalam ilmu medan perang khusus ‘Fighting in Jungle Area’ (FIJA) yang merupakan kemahiran teras 69 Komando.
Doktrin peperangan asimetrik dengan taktik gerila kumpulan kecil menjadi asas utama kejayaan 69 Komando semasa era Insurgensi dan taktik ini ditambahbaik sejajar dengan perubahan semasa.
Demonstrasi taktik Kemahiran Pertempuran FIJA juga dipersembahkan oleh pelatih Kursus Asas 69 Komando Siri 1/2024.
Selesai lawatan di tapak pameran, taklimat berhubung rasionalisasi Bayaran Insentif Pasukan Khas (BIPK) dan Elaun Rangsum kepada 69 Komando disampaikan kepada para delegasi.
Berada di Kem Sultan Nazrin Shah, Ibu Pejabat 69 Komando, delegasi dipertontonkan tayangan siri kemahiran lanjutan 69 Komando yang telah berubah kepada trend ancaman bersifat terbuka dan global merentasi sempadan.
Kemahiran 69 Komando juga berevolusi ke tahap multi-spektrum melibatkan keupayaan aturgerak darat, udara mahupun air dan sintesis kemahiran dalam melaksanakan operasi khas berprofil tinggi.
Satu simulasi penculikan telah diadakan dan delegasi dibawa melihat lebih dekat serangan ofensif 69 Komando dalam menangani krisis ‘counter urban guerilla’ melibatkan tebusan.
Taktik serangan meliputi kemahiran penembak tepat (sniper) dan senjata-senjata bantuan mortar M57 60mm dan RPG terhadap kubu musuh.
Lain-lain kemahiran yang dipamerkan termasuklah Pusat Gerakan CMT (Crisis Management Team) untuk melihat tinjauan kawasan operasi menggunakan dron milik Pasukan Gerakan Udara PDRM (PGU) secara jarak jauh.
Tidak ketinggalan kemahiran penyusupan taktikal melibatkan integrasi kemahiran payung terjun dan selam dengan kemahiran penerjunan Payung Terjun Amphibian FROG menggunakan peralatan selam Closed Circuit Breathing Apparatus (CCBA) melepasi garis musuh secara senyap.
Seterusnya, kumpulan penggempur 69 Komando dan Unit Tindakhas bertindak pantas menggunakan kenderaan APC JAWS merempuh masuk ke kawasan musuh menyelamatkan tebusan.
Senario krisis yang dipamerkan adalah manifestasi kesatuan 69 Komando dan elemen bantuan lain sebagai ketumbukan pasukan keselamatan PDRM dalam menangani sebarang krisis keselamatan negara.
Demonstrasi seterusnya mempamerkan kecekapan menembak menggunakan ‘secondary weapon’ oleh infantri 69 Komando.
Penambahbaikan keupayaan dan kepakaran pasukan khusus ini sejajar dengan doktrin keselamatan negara yang sentiasa berevolusi mengikut perkembangan semasa.
Komitmen serta langkah proaktif pihak JPA dan KDN bagi pemerkasaan dan penambahbaikan tadbir urus sumber secara lestari dan efisien merupakan perancangan strategik kerajaan memperkasakan pasukan khusus PDRM. – airtimes.my
#AirTimes #69Komando #Keselamatan