Home Semasa Tular pakaian seragam mirip tentera: PASKAD pecat empat anggota termasuk Pengerusi

Tular pakaian seragam mirip tentera: PASKAD pecat empat anggota termasuk Pengerusi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Empat anggota Pertubuhan Skuad Khidmat Darat, Laut dan Udara (PASKAD) termasuk pengerusinya dipecat susulan penularan insiden sekumpulan individu memakai pakaian mirip istiadat ketenteraan, baru-baru ini.

PASKAD dalam hantaran di laman Facebook rasminya memaklumkan, empat yang dipecat terdiri daripada pengerusi, ahli jawatankuasa, ahli jawatankuasa lantikan dan ahli PASKAD.

“Empat individu yang dipecat ialah Pengerusi PASKAD, Edros Abdullah; Ahli Jawatankuasa (AJK), Tan Hing Teik; AJK Lantikan, Abdul Halim Abdul Rahman; serta ahli biasa, Mohd Narulizam Ahmad,

“Mereka juga berkelakuan yang dianggap tidak beretika dan melakukan tindakan yang disyaki menyalahi undang-undang Malaysia,” jelas PASKAD.

Pada 31 Januari lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 7 individu didakwa terlibat dalam kes tersebut, di mana mereka berpakaian mirip istiadat ketenteraan ketika menghadiri sebuah majlis di Subang.

Selain itu, seramai 40 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan, manakala 18 helai pakaian bersama lencana, lambang serta aksesori berkaitan turut dirampas.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 140 Kanun Keseksaan, Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

PASKAD turut menjelaskan bahawa lebih 50 individu lain yang terlibat dalam kumpulan tersebut adalah orang awam dan bukan ahli sah pertubuhan itu.

Terdahulu, PASKAD mengesahkan mengadakan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Sesi 2025-2027 di Kelab Golf Rahman Putra, Sungai Buloh bagi memilih dan melantik kepimpinan baharu PASKAD.

Pengerusi PASKAD baharu adalah Mohamad Mohd Isa.-airtimes.my

#semasa #seragam #tentera #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?