KUALA LUMPUR, 15 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara dengan memperluaskan penggunaan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) ke kawasan berisiko tinggi, termasuk lokasi penyeludupan dadah dan migran.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sistem tersebut bakal digunakan di kawasan stretegik yang dikenal pasti sebagai ‘titik panas’ jenayah maritim, antaranya di Sarawak dan Pantai Timur Semenanjung.
Menurutnya, langkah itu adalah sebagai salah satu usaha dalam meningkatkan kesiapsiagaan dalam memastikan keselamatan di perairan negara.
“APMM dalam perancangan untuk kita luaskan lagi pemasangan teknologi pemantauan yang dilengkapi dengan radar berteknologi tinggi serta perakam video definisi tinggi,
“APMM juga mesti jalan serentak seiring dengan melengkapkan teknologi terkini dan ini termasuk sistem pengawasan laut SWASLA yang akan diperluaskan ke kawasan kawasan tumpuan bagi meningkatkan ketepatan dan keberkesanan pemantauan perairan negara secara ‘real time’,” kata Saifuddin.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia di Persiaran Karpal Singh, Jelutong, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah merasmikan Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia yang diadakan di Persiaran Karpal Singh, Jelutong, hari ini. Foto: KDN
Sambutan berlangsung selama 3 hari bermula semalam dimeriahkan dengan Fleet Review yang menampilkan aset-aset dari APMM.
Pelbagai pengisian tersedia seperti penglibatan para pempamer daripada rakan-rakan strategik seperti Gading Marine, Gading Galaxy, Amcop, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi-agensi seliaan KDN serta gerai-gerai jualan IKS.
Mengulas lanjut, beliau berkata, APMM bakal dibekalkan 4 helikopter jenis Augusta Westland AW189 Medium Lift yang dijangka diterima pada 2026.
“Dalam memastikan aset sedia ada beroperasi secara optimum, APMM turut melaksanakan Program Repowering serta Ship Life Extension Programme (SLEP) bagi memanjangkan jangka hayat kapal dengan kos lebih efektif,
“Penggunaan dron dan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) turut diperluas bagi mengawasi kawasan laut yang sukar diakses, sejajar Pelan Strategik Maritim Malaysia 2023-2033 yang memberi penekanan pemodenan aset serta peningkatan kecekapan operasi,” ujarnya lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah melawat ke reruai Gading Marine Industry (M) Sdn. Bhd selaku penaja utama Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia. Foto: GMI
Terdahulu, kira-kira 5,000 pengunjung hadir memeriahkan Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia, dengan orang ramai teruja menyaksikan demonstrasi pasukan berserta aset APMM.-airtimes.my
#APMM #KDN #MaritimMalaysia #airtimes #keselamatan