Home Pertahanan dan Keselamatan Modul ketenteraan dan kenegaraan PLKN berdaya memupuk perpaduan

Modul ketenteraan dan kenegaraan PLKN berdaya memupuk perpaduan

by Aqilah Azman

KUALA LUMPUR, 14 FEB – Pelaksanaan kombinasi modul asas ketenteraan dan komponen kenegaraan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, dijangka mampu berperanan penting dalam memupuk perpaduan dan kesusilaan.

“Program ini bukan sahaja membentuk individu yang berdisiplin dan bertanggungjawab, tetapi juga warganegara yang prihatin terhadap keharmonian masyarakat,” kata Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau menjelaskan dalam penyataan jawapan lisan di Parlimen, modul asas ketenteraan membantu membentuk disiplin diri dan semangat kerjasama dalam kalangan pelatih, di mana latihan ketenteraan menekankan kepatuhan kepada peraturan, penghormatan dan tanggungjawab terhadap tugasan

“Melalui proses ini, semangat kekitaan dan setiakawan dapat dipupuk, sekali gus menggalakkan hubungan harmoni antara pelatih,” ujarnya berkenaan latihan tersebut yang memerlukan kerjasama antara pelatih dalam kumpulan tanpa mengira perbezaan kaum, agama, atau budaya.

Manakala, berkenaan komponen kenegaraan Khaled berkata, ia memberi penekanan kepada pembentukan kesedaran sivik dan nilai toleransi selain turut menanam semangat patriotisme yang tinggi, di mana pelatih diberi pendedahan tentang sejarah negara, kepelbagaian budaya, dan nilai asas seperti terkandung dalam Perlembagaan Malaysia.

“Pengetahuan ini membantu pelatih memahami dan menghormati perbezaan budaya, agama, dan adat resam, sekali gus menyemai kesedaran tentang pentingnya perpaduan nasional,” jelasnya.

Dalam pada itu, Khaled menyatakan pengalaman hidup berkomuniti menerusi PLKN 3.0 juga menyumbang kepada pembentukan perpaduan, malah interaksi daripada pelbagai latar belakang dapat mengurangkan prejudis serta stereotaip serta meningkatkan pemahaman dan penghargaan.

Justeru, identiti nasional yang kukuh dapat dibentuk dalam diri pelatih melalui gabungan kesemua modul tersebut dengan dididik untuk mereka melihat diri sebagai sebahagian daripada masyarakat yang bersatu.

“Pengalaman menghadapi cabaran bersama dalam latihan asas ketenteraan juga membantu pelatih membina rasa hormat dan kepercayaan terhadap rakan-rakan mereka, tanpa mengira latar belakang,” tambah Khaled Nordin.

Kombinasi modul latihan 70 peratus asas ketenteraan dan 30 peratus komponen kenegaraan dalam PLKN 3.0, berperanan penting melalui pelbagai aspek, sekaligus berpotensi besar memupuk perpaduan serta kesusilaan dalam kalangan pelatih daripada pelbagai latar belakang.

Di samping itu, PLKN 3.0 berupaya menjadi platform yang signifikan dalam usaha membina masyarakat yang bersatu padu dan harmoni di Malaysia. -airtimes.my

#AirTimes #PLKN3.0 #Ketenteraan #Kenegaraan #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?