KUALA LUMPUR, 14 FEB – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bakal mengambil tindakan di bawah seksyen 126 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] ke atas mana-mana Penyedia Perkhidmatan yang beroperasi tanpa lesen, sekiranya disabitkan kesalahan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menjelaskan, tindakan tersebut dikenakan selepas Akta Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2025 [Akta A1743] mula berkuat kuasa pada 11 Februari 2025.
“Penyedia Perkhidmatan berkenaan boleh dikenakan penalti yang telah dipinda, iaitu denda tidak melebihi RM1 juta atau sepuluh tahun penjara, atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan denda selanjutnya RM100,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas pensabitan,” jelas Fahmi.
Bagaimanapun, dalam menentukan tindakan bersesuaian, MCMC akan mempertimbangkan tahap keseriusan pelanggaran, impak serta kekerapan dan rekod pematuhan Penyedia Perkhidmatan yang terbabit.
“Sehingga 13 Februari 2025, tiga syarikat Penyedia Perkhidmatan telah dilesenkan, iaitu WeChat International Pte Ltd (WeChat) dan TikTok Pte Ltd (TikTok) pada 1 Januari 2025 dan Telegram Messenger Incorporated (Telegram) pada 2 Januari 2025,” nyatanya.
Sehubungan itu, Kerajaan melalui MCMC komited, memastikan industri komunikasi dan multimedia di dalam negara dikawal selia dengan baik demi kebaikan rakyat.
Terdahulu, selari dengan aspirasi Kerajaan, MCMC telah melaksanakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan penyedia perkhidmatan media sosial (Penyedia Perkhidmatan) ke atas Penyedia Perkhidmatan yang memenuhi keperluan pelesenan, bermula pada 1 Januari 2025. -airtimes.my
#AirTimes #MCMC #Komunikasi #MediaSosial #Malaysia