Pertama kali gambaran medan perang dibawa ke dalam rumah ialah semasa Perang Vietnam apabila berita mengenainya disiarkan di kaca televisyen kepada audiens di Amerika Syarikat (AS).
Dasar anti komunis Washington pada masa itu menerusi media telah mempengaruhi majoriti rakyatnya, menyaksikan ribuan anak-anak muda menyertai tentera untuk ke Vietnam.
Liputan awal perang secara umumnya positif dan optimis, yang mencerminkan pendapat AS.
Berbeza semasa Perang Dunia Kedua dan kemudian Perang Korea, teknologi penyiaran pada masa itu masih terhad dengan rel berita hanya disiarkan lewat.
Kecuali menerusi akhbar, paparan berita dari medan perang hanya dapat diketahui sehari atau selepas beberapa hari.
Ledakan maklumat semasa Perang Vietnam kemudian telah memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi awam tentang peperangan dengan mempengaruhi bagaimana peristiwa dirangka, dilihat dan difahami.
Media jugalah yang kemudiannya memainkan peranan penting dalam menyediakan momentum untuk gerakan antiperang di AS.
Gerakan antiperang timbul atas beberapa sebab, terutama sekali kesan daripada gambaran perang di media yang membawa kepada desakan penarikan keluar tentera AS.
Memasuki era digital, namun fungsi media sebagai pembina naratif termasuk membina persepsi sentiasa relevan.
Sebab itu apabila meneliti kembali ucaptama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar yang menyentuh tentang kepentingan pelan strategik media, ia merupakan idea yang sentiasa ke hadapan.
Ini dengan melihat kenyataan beliau semasa ucaptama pada awal Februari lalu.
“Selama ini, pelan strategi media kurang diberi perhatian, sedangkan ia merupakan aspek penting dalam usaha kita membentuk naratif yang berkesan serta berupaya mempengaruhi persepsi masyarakat umum terhadap Angkatan Tentera Malaysia.
“Kita tidak boleh lagi hanya bergantung kepada ‘media reporting’ semata-mata untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat tanpa menilai apakah impak yang ingin dicapai.
“Media harus berperanan sebagai saluran utama dalam memperkenalkan peranan sebenar angkatan ini kepada rakyat, sekali gus mengintegrasikan mereka sebagai
sebahagian daripada kita.
“Oleh itu, pelan strategik media yang efektif seharusnya memberi impak yang nyata dalam
meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan ATM dalam pembangunan negara
di samping tugas utamanya sebagai benteng pertahanan,” kata Nizam dalam ucapatama Panglima Angkatan Tentera ke-23 di Auditorium Wisma Pertahanan pada 4 Februari lalu.
Media, dalam era moden tidak dapat dinafikan sebagai alat perang. Ini kerana memenangi peperangan moden adalah sama bergantung bagaimana membawa pendapat awam dan antarabangsa seperti mengalahkan musuh.
Petugas media atau wartawan pula mempunyai tanggungjawab memberikan laporan tentang peperangan atau konflik secara seimbang.
Dalam konteks Malaysia dan ATM pula walaupun tidak berdepan dengan konflik nyata, tetapi tetap mempunyai signifikan penting pada perspektif media dan masyarakat.
Kita wajar melihat bahawa disebalik pertembungan teknologi dan taktik dalam Konflik Ukraine, namun ia sebenarnya turut membabitkan perang media.
Kedua-dua pihak Rusia dan Ukraine menggunakan kelebihan media masing-masing untuk membawa berita dan cerita dari medan tempur kepada massa.
Menerusi penggunaan media sosial, video pertempuran dengan segera dikongsi di laman sosial dan boleh dilayari jutaan pengguna.
Kemusnahan di pihak musuh merupakan tujuan utama video tersebut disebarkan khususnya di pihak Rusia.
Ukraine juga tidak ketinggalan yang mana paparan berita media-media antarabangsa yang menyokong kempen di Ukraine, berita tentang kekalahan Rusia sentiasa dibesar-besarkan.
Naratif yang dibina oleh Rusia dan Ukraine dalam peperangan ini secara tidak langsung telah mewujudkan sokongan pada blok masing-masing selain membina keyakinan rakyat.
Petikan seterusnya kenyataan PAT tentang pentingnya media strategik menyebut:
“Sudah tiba masanya untuk kita membentuk naratif kita sendiri dan melaksanakannya secara sistematik demi mencapai impak yang diinginkan.
“Saya juga ingin menyeru agar setiap perancangan yang dibuat melibatkan pelaksanaan analisis jurang dan penilaian terhadap pulangan pelaburan iaitu ‘gap analysis’ dan ‘return on investment’
“Proses ini sangat penting kerana ia membantu mengenal pasti kekurangan atau peluang yang ada, di samping memberikan gambaran yang jelas tentang keberkesanan dan impak kewangan sesuatu inisiatif.
“Melalui pendekatan ini, keputusan yang lebih strategik dan berinformasi dapat dibuat, memastikan sumber daya digunakan dengan optimum.”
Ketegasan ini jelas menunjukkan pemikiran strategik PAT dalam melaksanakan eksesais terhadap kepentingan media dalam memperkasa kekuatan ATM.
Ini bukan bermakna apa yang dilakukan sekarang tidak bagus, tetapi lebih tepat ia hendaklah digandakan selain perlu mempunyai hala tuju yang objektif.
Pelaporan media tidak semata-mata memaparkan laporan bercorak ‘berita’, gambar bersalaman, wajah panglima atau gambar askar beramai-ramai, sebalik perlu lebih daripada itu.
Ini termasuklah menajamkan kemahiran menulis dan kecekapan untuk menulis dan merangka berita serta artikel yang baik dalam kalangan warga ATM sendiri.
Sepertimana dalam situasi berperang, merancang strategi media memerlukan komander yang berfikiran kritis. – airtimes.my
#AirTimes #Kolumnis #Media #Pertahanan #ATM