Home SemasaGlobal Trump suarakan hasrat mahu beli dan miliki Gaza

Trump suarakan hasrat mahu beli dan miliki Gaza

by Aqilah Azman

WASHINGTON, 10 FEB – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan hasrat komitmennya untuk membeli dan memiliki Gaza.

“Saya komited untuk membeli dan memiliki Gaza,” katanya di atas pesawat Air Force One ketika dalam perjalanan ke New Orleans bagi menghadiri Kejohanan Super Bowl Liga Bola Sepak Kebangsaan (NFL).

Pada masa sama, beliau berkata, akan memastikan Hamas tidak kembali ke Gaza dan komited dalam memilikinya.

Mengenai usaha pembinaan semula, beliau berkata akan menyerahkan kepada negara lain di Asia Barat, untuk membina sebahagian daripadanya atau pihak lain yang boleh melakukannya di bawah pengawasannya.

“Tiada apa yang boleh kembali ke sana. Tempat itu adalah tapak runtuhan, baki bangunan akan dimusnahkan. Semuanya telah musnah,” nyatanya, yang dipetik oleh REUTERS.

Dengan itu, Trump bersedia untuk mempertimbangkan kemungkinan menerima beberapa pelarian Palestin ke Amerika Syarikat, namun keputusan tersebut dibuat berdasarkan kes demi kes.

Bagaimanapun, ahli biro politik Hamas, Ezzat El Rashq, mengecam kenyataan Trump untuk memiliki Gaza.

“Gaza bukanlah harta yang boleh dibeli dan dijual. Ia adalah sebahagian daripada tanah Palestin yang diduduki,” tegas Rashq.

Selain itu, menurut Presiden Israel, Isaac Herzoq, Trump dijadualkan akan bertemu Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman, namun tidak ada pengumuman tarikh pertemuan itu.

“Mereka adalah rakan yang perlu didengar, perlu dibincangkan bersama. Kita harus menghormati perasaan mereka dan mencari jalan untuk membangunkan pelan yang mampan untuk masa depan,” kata Herzoq dalam satu temu bual dengan Maria Bartiromo dari Fox News bagi menjawab persoalan cadangan Trump.

Trump sebelum ini pernah mencadangkan pelan untuk secara kekal memindahkan rakyat Palestin dari Gaza dan menjadikan kawasan itu sebagai “Riviera Asia Barat”. -airtimes.my

#AirTimes #Gaza #Trump #ArabSaudi #AS #Israel

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?