Home Semasa KDN kenakan Perintah Larangan ke atas 3 buah buku

KDN kenakan Perintah Larangan ke atas 3 buah buku

by Zulhaizi Rosdi

PUTRAJAYA, 8 FEB – Kerajaan mengenakan Perintah Larangan ke atas tiga judul penerbitan buku kerana dikhuatiri memudaratkan moral masyarakat.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, Perintah larangan ini penting bagi mengelakkan penyebaran ideologi atau gerakan yang bertentangan dengan budaya serta nilai-nilai murni masyarakat majmuk di negara ini.

“Tindakan perintah larangan ini diwartakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

“Tiga buah tajuk penerbitan yang dikenakan perintah larangan ialah ‘My Shadow Is Purple’ oleh Scott Stuart, ‘Koleksi Puisi Masturbasi’ oleh Amir Hamzah Akal Ali (Benz Ali) dan buku ‘All That’s Left In The World’ oleh Erik J Brown,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, akta ini akan berkuat kuasa pada 21 dan 22 Januari 2025 terhadap ketiga-tiga tajuk penerbitan.

“Perintah Larangan mengikut Akta 301 ini adalah berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan berlaku.

“Pada masa sama, masyarakat turut mendapat pendedahan dan kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini serta tidak sesuai untuk bacaan umum,” katanya.

Selain itu, Tindakan Perintah Larangan bagi kesemua hasil penerbitan berkenaan selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 7(1) Akta 301 yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran atau pemilikan tiga hasil penerbitan itu yang mungkin memudaratkan adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.

“Berdasarkan peruntukan di bawah subseksyen 8(2) Akta 301, mana-mana individu yang melakukan kesalahan termasuk memiliki buku berkenaan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya,” ujarnya. -airtimes.my

#KementerianDalamNegeri #KDN #PerintahLarangan #Akta301 #Semasa #Airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?