KUALA LUMPUR, 7 Feb – Cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk mengambil alih dan mengusir penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza tidak perlu dihentikan kerana jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan tersebut tidak masuk akal kerana jelas menunjukkan langkah untuk melaksanakan pembersihan etnik tanpa menggunakan senjata atau peperangan.
“Sikap dan tindakan Trump ini sama seperti krisis pengusiran penduduk Palestin dari Baitulmaqdis Timur oleh Israel sejak 1950-an,
“Ia juga sama ketika peperangan pada tahun 1967 di mana baki tanah Palestin dirampas termasuk Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Kegilaan Trump dan sekutunya, Benjamin Netanyahu harus dihentikan dengan segera,
“Ini soal kemanusiaan. Sampai bila kita mahu melihat rakyat Palestin diusir dan dibunuh di tanah mereka sendiri?” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Trump berkata, Israel akan menyerahkan Gaza kepada AS selepas pertempuran berakhir dan penduduk Palestin di situ sudah ditempatkan semula di tempat lain.
Selain itu, Air Times turut melaporkan, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz telah mengarahkan tenteranya untuk merangka pelan membenarkan rakyat Palestin meninggalkan Gaza.
“Saya telah mengarahkan IDF (tentera) untuk menyediakan pelan yang membolehkan pemergian sukarela bagi penduduk Gaza,” kata Israel Katz dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pentadbiran AS seharusnya menyalurkan dana dan sumbangan bagi membantu membangunkan infrastruktur asas seperti hospital dan sekolah di Palestin akibat peperangan yang berpanjangan.
“Amat malu jika AS, sebuah negara yang mahukan keamanan di Asia Barat dan sering menyokong hak asasi manusia tetapi kini giat mahu mengusir penduduk Gaza,
“Dunia khususnya negara Islam perlu bangkit dan menentang kegilaan ini. Penyelesaian kekal untuk isu ini hanya satu, berikan hak rakyat Palestin. Usah biar Palestin lenyap dari peta dunia,” tegasnya lagi.-airtimes.my
#Malaysia #Gaza #Palestin #Trump #airtimes #semasa