KUALA LUMPUR, 6 Feb – Sebuah helikopter terhempas ketika mendarat untuk mengisi minyak berdekatan tapak projek Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong, Pahang.
Pihak TNB memaklumkan, juruterbang pesawat berjaya dikeluarkan, manakala seorang pekerja syarikat helikopter (warga Indonesia) meninggal dunia.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika helikopter tersebut sedang melakukan pendaratan.
Ketika mendarat, helikopter berkenaan tidak dapat dikawal sebelum terbalik dan terbakar.
“TNB telah mengarahkan pemberhentian kerja bagi penggunaan helikopter kedua yang turut terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan di tapak projek tersebut,
“Pasukan bomba juga telah memadamkan kebakaran di lokasi kejadian. TNB akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan insiden ini,” jelas pihak TNB.
Sementara itu, media melaporkan, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.39 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dikejarkan ke lokasi.
“Kebakaran berjaya dikawal dan padam sepenuhnya jam 11.06 pagi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengesahkan kemalangan melibatkan sebuah helikopter Bell 206L4, dengan nombor pendaftaran PK-ZUV di tapak pendaratan helikopter berhampiran Bentong pada jam 10.26 pagi tadi.
“Helikopter yang disewa dan dikendalikan oleh MHS Aviation Berhad itu sedang menjalankan penerbangan kerja keudaraan,
“Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016,” jelas CAAM dalam kenyataan. -airtimes.my