Home Pertahanan dan Keselamatan Salam perantauan dari kapal ronda China berhampiran Beting Serupai

Salam perantauan dari kapal ronda China berhampiran Beting Serupai

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 4 FEB – Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) terus mempamerkan kehadiran di Laut China Selatan sebagai wilayah perairan yang dituntut republik itu.

China mendakwa sebahagian besar Laut China Selatan adalah miliknya dalam zon yang dipanggil sebagai Sembilan Garisan Putus (Nine Dash Line).

Kapal-kapal CCG melaksanakan rondaan dan pelayaran pengawasan di perairan sebelah sana yang mana secara tidak langsung menunjukkan tuntutan dibuat adalah serius.

Terbaru, kehadiran kapal-kapal CCG turut dikesan menghampiri perairan negara di Laut China Selatan dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dekat Beting Patinggi Ali.

Beting yang terletak pada kedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram) Sarawak merupakan kawasan kedaulatan negara.

Video salam perayaan memaparkan Beting Serupai (James Shoal) yang berada dalam kedudukan tuntutan 9-dash line

Kehadiran kapal CCG ini dikesan melalui perkongsian video ucapan selamat menyambut Tahun Baru Cina oleh armada tersebut.

Dalam video berkenaan ditunjukkan ucapan kru kapal-kapal CCG serta ditanda kedudukan dan arah pelayaran kapal-kapal berkenaan.

Terdapat 15 rakaman ucapan kru kapal-kapal tersebut, bagaimana pun jenis atau spesifik kapal tidak dinyatakan.

Mereka kelihatan bersemangat dengan memegang kain rentang ucapan dan tanglung.

Cuma yang menarik, video berkenaan turut disertakan dengan paparan dua buah kapal iaitu CCG 4301 dan CCG 5403 dipercayai belayar di Laut China Selatan.

CCG 4301 bersaiz lebih besar berbanding CCG 5403.

Video salam perayaan turut memaparkan pelayaran kapal CCG5403 yang didakwa berada di Beting Serupai.

Sementara itu menerusi semakan dalam aplikasi kedudukan kapal, CCG 4301 dikatakan berada di Laut China Selatan sejak beberapa hari lalu.

Kapal sepanjang 111 meter dengan lebar 14 meter dengan bentuk seperti sebuah kapal perang ini antara aset CCG yang kerap ditugaskan meronda dan belayar di perairan ini.

CCG 4301 juga pernah terbabit dalam insiden pelanggaran yang menenggelamkan kapal nelayan Vietnam pada April 2020 dekat perairan Kepulauan Paracel.

Persenjataan kapal ini tidak kurang hebatnya bagi sebuah kapal peronda pengawal pantai apabila dilengkapi meriam kaliber 76mm dan 30mm.

Kapal CCG 5403 juga pernah dikesan menghampiri perairan ZEE dekat Beting Patinggi Ali sebelum ini bagi menggantikan kapal peronda CCG sebelumnya.

Sementara itu, Air Times dimaklumkan oleh sumber bahawa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sedang bergiat aktif mengesan serta membayangi kedudukan kapal agensi kerajaan asing di kawasan pertikaian.

Pada masa yang sama, sumber menyatakan keadaan sebegini sudah cukup jelas kepada pihak berwajib untuk memberikan penekanan kepada kekuatan dan keupayaan TLDM untuk menjadi benteng kedaulatan perairan negara. – airtimes.my

#AirTimes #Semasa #BetingSerupai

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?