KUALA LUMPUR, 5 FEB – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM173.8 juta bagi Bantuan Sara Hidup (BSH) veteran tidak berpencen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 2025.
Langkah ini antara sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dalam memperkasakan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memastikan kebajikan veteran ATM terus terjaga, selaras dengan kerangka pemerkasaan JHEV ATM yang dikenali sebagai ‘FIRST’.
“Kerangka FIRST ini memberi penekanan kepada lima elemen utama, iaitu sumber kewangan yang mencukupi untuk pelaksanaan fungsi Jabatan (Funding), kemudahan infrastruktur yang berkualiti (Infrastructure), pemantapan peraturan dan dasar (Rules & Policy), sumber manusia yang kompeten (Skills & Talents), serta kemajuan teknologi yang mesra pengguna dan berkesan (Technology),” ujarnya pada Selasa.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan peruntukan bagi memperkukuh JHEV ATM dalam menyantuni para veteran.
“Pada tahun 2023, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM50.1 juta bagi pelaksanaan Bantuan Sara Hidup kepada 41,970 veteran tidak berpencen. Bagi tahun 2024, bantuan ini menerima peruntukan tambahan sebanyak RM139.2 juta dan meningkat kepada RM243.3 juta dengan perbezaan sebanyak RM104.1 juta atau 42.7 peratus.
“Manakala bagi tahun 2025, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM173.8 juta bagi Bantuan Sara Hidup,”tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor mengenai inisiatif kementerian pertahanan untuk memperkasakan JHEV supaya dapat memudahkan penyaluran bantuan kepada warga veteran ATM.
Khaled menegaskan, pemerkasaan JHEV ATM adalah satu proses berterusan yang memerlukan masa serta sumber yang mencukupi untuk memastikan keberkesanannya dalam menyantuni para veteran.
“Kerajaan komited untuk terus memperkasa JHEV ATM agar ia dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan menyeluruh kepada veteran ATM. Walaupun usaha ini memerlukan masa, kami akan memastikan ia dilaksanakan dengan berkesan demi kebajikan para veteran,” ujarnya.-airtimes.my
#pertahanan #veteranATM #JHEVATM #ATM #Malaysia #airtimes