Home Semasa Panglima Angkatan Tentera: Saya akan turun padang ke Town Hall bersama veteran

Panglima Angkatan Tentera: Saya akan turun padang ke Town Hall bersama veteran

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 4 FEB – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) akan menganjurkan sesi Town Hall bersama veteran ATM dalam usaha memperkasakan penyampaian inisiatif kebajikan dan kesejahteraan bekas anggota tentera. 

Sesi ini akan dihadiri oleh Panglima ATM bersama para Panglima Perkhidmatan.  

Mengulas lanjut, Panglima ATM,  Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar berkata, sesi ini bertujuan untuk mendengar secara langsung isu dan keperluan yang dibangkitkan oleh para veteran, khususnya berkaitan pencen, ganjaran serta faedah perubatan yang sering dibangkitkan. 

“Dalam sesi Town Hall ini kami akan mendengar apa yang ingin diutarakan dan kami akan memaklumkan apakah inisiatif yang terkini yang kami ada dan juga mungkin menjelaskan dan mengungkai permasalahan,

“Mungkin selama ini penggunaan secara terus tidak berjaya menyebabkan terlalu banyak rungutan-rungutan di luar sana. Seolah-olah kami tidak peka langsung dengan rintihan yang disuarakan oleh veteran,

“Jadi sesi ini untuk kita memastikan bahawa mesej yang ingin disampaikan itu sampai kepada mereka dan untuk mendengar apa yang mereka ingin menyuarakan,” ujarnya.

Beliau turut mengakui, banyak perkara berkaitan kebajikan veteran telah dilaksanakan tetapi tidak disampaikan secara menyeluruh.

Tegasnya, sesi Town Hall ini juga akan berfungsi sebagai medium komunikasi yang lebih berkesan untuk mengurangkan kekeliruan serta membina persepsi yang lebih tepat dalam kalangan veteran.

“Kami ingin memastikan bahawa mesej yang disampaikan benar-benar sampai kepada mereka dan pada masa yang sama, kami dapat menjelaskan inisiatif terkini yang sedang dilaksanakan,” tambahnya lagi. 

Dalam ucapan beliau pada Ucaptama Panglima Angkatan Tentera Ke-23, beliau menegaskan, ATM akan terus menghargai jasa dan pengorbanan veteran yang telah banyak menyumbang kepada negara. 

“Tanpa mereka, kita tidak akan mengecapi apa yang kita miliki hari ini dan memang sewajibnya veteran Angkatan Tentera Malaysia terus dihargai. Angkatan Tentera Malaysia akan sentiasa membantu dan berusaha melaksanakan yang terbaik untuk para veteran,” katanya.  

Selain itu, Nizam menegaskan, usaha untuk memperjuangkan kebajikan dan meningkatkan taraf ekonomi veteran turut mendapat sokongan penuh daripada Menteri Pertahanan serta Timbalan Menteri Pertahanan. 

Sesi Town Hall ini dijangka menjadi platform penting untuk membina hubungan lebih erat antara ATM dan para veteran. Ini sekaligus memastikan kebajikan mereka terus terpelihara selaras dengan nilai “Duty, Honour, Sacrifice” yang menjadi pegangan utama ATM. -airtimes.my

#PanglimaATM #Veteran #TownHall #KementerianPertahanan

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?