WASHINGTON, 2 FEB – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan beliau telah mengarahkan serangan udara ketenteraan ke atas pengganas ISIS di Somalia.
Serangan itu dilaporkan telah dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan Somalia, menurut kenyataan dalam talian oleh Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, pada Sabtu.
Serangan tersebut dijalankan di Pergunungan Golis, rantai gunung yang terletak di wilayah Somaliland, utara Somalia, berhampiran Teluk Aden. Kawasan ini dikenali sebagai lokasi strategik yang sering digunakan oleh kumpulan pengganas sebagai tempat persembunyian.
“Penilaian awal kami menunjukkan bahawa ramai pengganas terbunuh dalam serangan udara ini, dan tiada kecederaan atau kematian dalam kalangan orang awam,” katanya.
Beliau menambah, serangan ini mengurangkan keupayaan ISIS untuk merancang dan melaksanakan serangan pengganas yang mengancam rakyat AS, rakan sekutu, dan orang awam yang tidak bersalah.
Hegseth menekankan bahawa tindakan ini menghantar mesej jelas bahawa AS sentiasa bersedia untuk mencari dan menghapuskan pengganas yang mengancam keselamatan negara dan sekutunya.
Dalam satu hantaran di platform X, Trump menyatakan bahawa beliau telah mengarahkan serangan udara tepat ke atas perancang serangan kanan ISIS dan pengganas lain yang dipimpinnya di Somalia.
“Pengganas ini, yang ditemui bersembunyi di dalam gua, mengancam AS dan sekutu,
“Serangan yang dilancarkan ini memusnahkan gua tempat mereka bersembunyi dan membunuh ramai pengganas tanpa mencederakan orang awam,” kata Trump.
Beliau turut mengkritik pentadbiran terdahulu di bawah pimpinan Biden yang didakwa gagal bertindak dengan pantas dalam menghapuskan ancaman terhadap AS.
Serangan terbaharu ini menandakan kesinambungan usaha AS dalam memerangi keganasan di rantau Afrika. – airtimes.my
#AirTimes #Global #Afrika #AS #Trump