SELANGAU, 2 FEB – Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Briged) telah mengaturgerakkan Trup Batalion Keenam Rejimen Sempadan (6 RS) untuk melaksanakan Op MURNI.
Operasi ini dilaksanakan bagi membantu agensi Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di kawasan banjir Bahagian Selangau bermula 29 Januari lalu.
Pihak 9 Briged dalam satu hantaran di akaun sosial rasminya menyatakan anggota Tentera Darat Malaysia dari 6 RS diaturgerakkan bagi membantu empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Arip, Sekolah Jenis Kebangsaan Tong Ah, Dewan Penghulu Balang (Sekuau) dan Dewan Serbaguna Selangau.
“Antara tugas trup yang digerakkan ini termasuk membantu agensi tempatan dalam memantau paras air di kawasan tanggungjawab, memindahkan mangsa banjir ke PPS terdekat serta menyalurkan bantuan ke kawasan yang terputus hubungan akibat bencana banjir,” katanya.
Panglima 9 Briged, Brigedier Jeneral Jafri Sulaiman dan Pegawai Memerintah 6 RS, Leftenan Kolonel Lee Swee Chiat berkesempatan melawat PPS dan bertanya khabar kepada mangsa-mangsa banjir.
“Pelaksanaan Op MURNI ini adalah sejajar dalam pendekatan Whole of Government dan Whole of Society (WoGoS) dan Pembangunan Nasional sebagaimana terkandung dalam Teras Keempat Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-30 iaitu Gagasan Tentera dan Rakyat,” kata 9 Briged. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Selangau #Sarawak #9Briged #6RS