KUALA LUMPUR, 1 Feb – Seramai lebih 37,000 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan telah digerakkan di Sabah dan Sarawak bagi menghadapi situasi banjir susulan luruan monsun yang dijangka berlaku pada 4 hingga 7 Februari 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, di Sarawak, lebih 23,000 anggota telah dikerahkan bersama aset mencukupi untuk melaksanakan operasi menyelamat dan bantuan kepada mangsa banjir.
Sementara itu, di Sabah, lebih 14,000 anggota sedang bertugas di lapangan bagi memastikan keselamatan penduduk yang terjejas.
“Ia termasuklah 526 aset darat, 214 aset laut atau sungai, 15 aset udara dan 269 aset sokongan dikerahkan bagi membantu pengurusan banjir di Sarawak,
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, berkata sebanyak 977 aset darat, 463 aset air dan 16 aset udara.
“Setakat jam 12 tengah hari ini, terdapat 26 daerah di negeri Sarawak dan Sabah dilanda banjir dengan penurunan jumlah mangsa kepada 15, 009 mangsa berbanding 17,637 mangsa yang dicatatkan pada jam 6 pagi tadi,
“Ia membabitkan 4,416 keluarga yang ditempatkan di 87 Pusat Pemindahan Sementara (PPS). 3 daerah di Sarawak paling teruk terjejas adalah daerah Bintulu (4,928 mangsa), daerah Serian (1,966 mangsa) dan daerah Selangau (1,056 mangsa),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, dengan persediaan dan koordinasi awal, kerajaan menyediakan peruntukan awal kepada semua negeri dan Agensi Tindak Balas bagi tujuan pengoperasian semasa Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025, penyelarasan yang baik dan teratur dapat dibuat dan disusun oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) .
“Saya juga mohon supaya proses pendaftaran dan pengesahan mangsa dipermudah dan disegerakan bagi mengelakkan kelewatan pembayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI).
“Saya akan meminta pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku urus setia kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) supaya terus memantau tahap kesiapsiagaan semua agensi terbabit di semua peringkat untuk menghadapi bencana,” katanya
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa bersedia dengan beg kecemasan dan segera berpindah ke PPS yang disediakan apabila diarahkan.
“Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) yang beroperasi 24 jam setiap hari akan sentiasa memantau dan melaporkan situasi semasa,” ujarnya lagi. -airtimes.my
#semasa #airtimes #Malaysia #banjir #NADMA