Dalam mencapai keberkesanan keselamatan sesebuah negara yang optimum dari segi keupayaan yang lebih efisien, pantas dan seiring kemajuan dengan penginovasian teknologi masa kini, ia menjadi peran penting dalam mengukuhkan sesuatu sistem pertahanan yang pesat.
Mutakhir ini, kadar jenayah di kawasan perairan negara yang melibatkan penyeludupan serta rentas sempadan tanpa sebarang dokumen pengesahan agak membimbangkan walaupun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan purata kes telah menurun.
“Trend jenayah (di perairan) ini, semakin berkurangan dan berubah-ubah bergantung kepada sindiket-sindiket yang terlibat dalam aktiviti ini,” kata Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah.
Meskipun, kes tersebut berlaku dari semasa ke semasa, APMM dan pihak berkuasa tetap memantau dengan operasi yang berterusan dalam membanteras isu ini. Di samping, dengan bantuan alat teknologi yang canggih sekaligus dapat mengawal dan mengesan dengan lebih cepat.
Dengan itu, adanya aset keselamatan ‘Mobile Surveillance Unit’ yang dimiliki oleh pihak maritime (APMM), ia berdaya menampung dan membantu melancarkan operasi yang dijalankan. Hal ini, sejajar dengan matlamat maritim yang ingin meneroka dan memahami sistem teknologi terkini yang mampu berfungsi sebagai keselamatan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah pada Asia International Security Summit & Expo 2025 (AISSE’25) berkata, langkah ini selaras dengan usaha pihaknya untuk memperkukuhkan keupayaan pengawasan dan keselamatan perairan negara sebagaimana ‘Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040’.
Oleh itu, teknologi MSU yang dilengkapi dengan sistem pengawasan jarak jauh serta mampu memberikan respons yang pantas terhadap sebarang ancaman yang berlaku di kawasan sukar dikesan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) ini, berasaskan darat direka bentuk memenuhi semua keadaan cuaca tropika dan boleh digunakan pada bila-bila masa dan di mana sahaja di sepanjang kawasan pantai Malaysia.
Selain penggunaan MSU yang diliputi radar, AIS dan kompas, Maritim turut bersedia memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam membentuk rangkaian strategik yang lebih kukuh di peringkat antarabangsa bagi memerangi ancaman jenayah rentas sempadan.
“Maritim Malaysia perlu bergerak seiring dengan perubahan teknologi moden, ini kerana pihak penjenayah kini turut cenderung menggunakan AI untuk tujuan aktiviti jenayah,” ujar beliau lagi.
Katanya lagi, pengaplikasian teknologi AI sistem pintar ini, mampu mengesan pola pergerakan yang mencurigakan, membantu bertindak lebih cepat dalam memintas penyeludupan, pemerdagangan manusia dan jenayah maritim lain. Menerusi pengintegrasian AI dalam sesebuah operasi adalah antara satu pendekatan baharu dan pemangkin kepada reformasi operasi maritim Malaysia serta mencipta negara yang berdaya tahan, selamat dan berdaya saing di peringkat global.
“Saya yakin dan percaya, apabila penggunaan teknologi terkini dipertingkatkan dalam sistem pengawasan sedia ada, jumlah tangkapan akan meningkat dan perairan negara semakin terkawal,” jelas beliau.
Maka, melalui inisiatif ini APMM akan terus kekal progresif tanpa henti dan sentiasa bersiap sedia dalam mendepani cabaran yang semakin kompleks serta dinamik demi keselamatan dan keamanan perairan negara.
Dalam masa sama, penggunaan teknologi yang semakin moden ini juga bagi menyesuaikan pihak Maritim untuk dapat menguasainya dalam membendung serta menumpaskan kes daripada terus membarah, malah ini sekaligus mencerminkan tindakan tegas Maritim ke atas keselamatan perairan negara. -airtimes.my
#AirTimes #APMM #Maritim #Teknologi #MSU #AI #Malaysia