PORT DICKSON, 1 FEB – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan hari ini menegaskan para ibu bapa dan keluarga perajurit muda harus berbangga kerana anak-anak mereka telah berani memikul tugas demi negara.
Menurut beliau, tidak semua anak-anak muda sanggup mengorbankan kehidupan mereka sebagai orang awam untuk menjadi anggota tentera.
Dalam ucapan semasa menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 201/2024 dan Wanita Siri 49/2024, Panglima Tentera Darat turut merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga perajurit muda khususnya ibu bapa yang telah membenarkan anak-anak mereka yang telah menyertai Tentera Darat.
“Tidak lupa setinggi-tinggi perhargaan saya ucapkan kepada ibu, bapa, ahli keluarga, dan saudara yang hadir pada perbarisan pagi ini,
“Ibu dan bapa, terima kasih kerana mengizinkan dan merelakan anak-anak muda ini memilih tentera sebagai kejayaan dalam hidup mereka,” kata Hafizuddeain.
Hari ini seramai 1,339 Perajurit Muda terdiri 1,010 lelaki dan 329 wanita telah berjaya menamatkan latihan yang dilaksnakan selama 6 bulan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson.
“Saya percaya di kalangan ibu dan bapa ada yang mengeluarkan air mata melihat perubahan susuk tubuh anak-anak mereka,
“Dari cerah kulitnya hingga hitam jadinya, dari sedap tubuh badannya hingga kurus kering akhirannya,
“Namun, ketahuilah susuk tubuh yang hitam dan kurus inilah yang akan mempertahankan tanah air ini, yang akan memastikan rakyat tidur lena di malam hari,
“Semestinya, yang akan berjasa kepada agama, bangsa dan tanah air. Bukan semua anak-anak muda sanggup mengobarkan kehidupan awam demi menceburi bidang ketenteraan,
“Kepada ibu dan bapa serta seluruh ahli keluarga janganlah gusar, (tetapi) berbanggalah dengan anak-anak yang memilih untuk menjadi keluarga besar Tentera Darat kerana tentera adalah satu tugas yang amat mulia,” tegas Panglima Tentera Darat. – airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #TenteraDarat #PUSASDA